KUALA TERENGGANU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu mematahkan penyeludupan 747,120 rokok putih dan kretek pelbagai jenama yang keseluruhannya membabitkan cukai bernilai RM503,051 dalam dua serbuan pada 31 Mac lalu.

Ketua Pengarah JKDM Datuk Sri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, dalam serbuan pertama pada jam 1 pagi di persisir pantai Lembah Bidong, Jalan Merang, 31 Mac lalu, pihaknya merampas 508,000 rokok putih bersamaan 2,540 karton dianggarkan bernilai RM66,040 membabitkan cukai RM341,884.

Beliau berkata, serbuan kedua pada hari yang sama jam 10.30 pagi pula pihaknya merampas 239,120 rokok putih dan kretek pelbagai jenama dengan nilai dianggarkan RM33,778.40 membabitkan cukai RM161,167 di rumah kedai di Kampung Pak Madah, Bukit Payung.

“Dalam operasi pertama, suspek yang sedang menjalankan aktiviti pemindahan rokok seludup bagaimanapun meloloskan diri ketika serbuan dijalankan.

“Rokok yang dibungkus di dalam plastik hitam itu sedang diangkut daripada bot ke lori di persisir pantai Lembah Bidong.

“Mereka sedang asyik memunggah rokok itu daripada bot ke lori sebelum bertempiaran lari sebaik menyedari kehadiran pasukan kita.

“Rokok seludup ini dibawa dengan kapal sebelum berlabuh di tengah laut kemudian dibawa pula dengan bot kecil ke darat,” katanya pada sidang media JKDM di Pejabat Bahagian Penguatkuasaan JKDM Negeri, di sini, hari ini.

Abdul Latif berkata, pihaknya menahan dua suspek warga tempatan iaitu seorang lelaki dan seorang wanita berusia 20 dan 43 tahun dipercayai pemilik premis rumah kedai di Kampung Pak Madah, Bukit Payung, di sini, dalam serbuan kedua.

“Kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada sepuluh kali nilai barang atau RM100,000 dan tidak lebih daripada dua puluh kali ganda nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar atau dipenjara tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Berdasarkan rekod, JKDM sudah merampas sebanyak 73,355,624 rokok seludup sejak awal tahun ini hingga 31 Mac lalu, manakala rampasan keseluruhan rokok pada tahu lalu sebanyak 894.4 juta batang rokok pelbagai jenama.

“Kita minta kerjasama orang awam dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol kastam 1-800-88-8855,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2021/04/804563/kastam-rampas-rokok-seludup-lebih-rm500000