Pengenalan PERKASA Putrajaya

logo-perkasaPersatuan Pegawai Kanan Kastam Malaysia Cawangan Putrajaya (PERKASA Putrajaya) adalah sebuah pertubuhan yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia mulai 01 Oktober 2015, nombor pendaftaran: PPM-009-10-22071975-000012.

Sebelum penubuhan PERKASA Putrajaya, semua ahli-ahli yang bertugas di Ibu Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) adalah bernaung di bawah Persatuan Pegawai Kanan Kastam Malaysia Cawangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sejak tahun 1975 lagi. Sejarah penubuhan PERKASA Putrajaya bermula apabila terdapat cadangan daripada ahli-ahli yang bertugas di Ibu Pejabat JKDM untuk menubuhkan cawangan sendiri bagi tujuan memudahkan urusan kebajikan dan perjalanan aktiviti di peringkat Ibu Pejabat memandangkan bilangan ahli yang bertugas di Ibu Pejabat paling ramai di antara cawangan-cawangan PERKASA yang lain.

PERKASA Putrajaya secara rasmi terbina apabila berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Dwi Tahunan buat julung-julung kalinya yang telah berlangsung pada 5 Mei 2016 dan berjaya menghimpunkan lebih 200 orang ahli yang berdaftar di bawah PERKASA Putrajaya dengan sambutan yang luar biasa. Cawangan ini bernaung di bawah Persatuan Pegawai Kanan Kastam Malaysia (PERKASA Pusat) dan sentiasa komited untuk mengukuhkan jalinan perpaduan di kalangan ahli-ahli berdaftar dibawah Cawangan Putrajaya. Pertubuhan NGO di bawah Jabatan Kastam Diraja Malaysia ini juga turut memperjuangkan kemajuan pembangunan kerjaya serta kebajikan ahli-ahlinya mampu menjamin kesatuan dan kesepakatan khususnya di kalangan keseluruhan Pegawai Kanan Kastam Diraja Malaysia Cawangan Putrajaya dan warga JKDM amnya.

OBJEKTIF

  1. Untuk menjamin perpaduan keseluruhan Pegawai Kanan Kastam Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
  2. Untuk memaju dan membangunkan ekonomi, sosial, pelajaran, kebudayaan dan kebajikan para ahlinya mengikut mana-mana cara yang sah di sisi undang-undang.
  3. Untuk menambah dan mentadbir tabung kewangan bagi mencapai tujuan dan cita-cita persatuan.
  4. Untuk mengedit, mencetak, menerbit dan mengedar jurnal, majalah, berita atau lain-lain penulisan bercetak bagi mencapai tujuan-tujuan persatuan atau meningkatkan kepentingan ahli-ahli.
  5. Untuk melaksanakan apa-apa sahaja aktiviti yang dibenarkan oleh undang-undang bagi melaksanakan cita-cita persatuan.