SEREMBAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan sindiket mengilang minuman keras tiruan dan merampas arak bernilai RM3.12 juta termasuk cukai di sebuah kilang di Kuala Sawah, Rantau, dekat sini, pada 16 Mac lalu.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir, berkata susulan maklumat awam dan risikan, sepasukan anggota kastam daripada Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah, Unit 1 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyerbu kilang itu yang memproses minuman keras tiruan pelbagai jenama, disyaki tidak berkastam.

“Ketika serbuan pada jam 5 petang itu, lapan pekerja kilang berjaya melarikan diri selepas menyedari kehadiran anggota kastam melalui beberapa kamera litar tertutup dipasang dalam kilang berkenaan.

“Kilang ini dipercayai baru beroperasi iaitu sekitar dua atau tiga bulan lalu. Arak tiruan ini diproses di kilang persendirian di kawasan seluas kira-kira 1.6 hektar,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Abdul Latif berkata, usaha mengesan dalang utama sindiket itu sedang dijalankan.

Mengulas rampasan itu, beliau berkata, sebanyak 59,104 liter minuman keras bernilai RM344,644.80 dirampas dengan cukai berjumlah RM1.952 juta.

Katanya, turut dirampas beberapa mesin memproses bahan mentah, set tangki penapaian, mesin label dan cap dagang serta peralatan makmal bernilai RM1 juta.

“Minuman keras tiruan menggunakan jenama dari Jerman ini dipercayai dijual di pasaran tempatan dengan menyasarkan warganegara asing, selain dijual pada harga lebih murah berbanding harga pasaran produk sebenar,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 74 (1) (f) Akta Eksais 1976. – BERNAMA

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/03/799462/kastam-rampas-arak-tiruan-rm312-juta-di-rantau