KUCHING: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak menahan seorang wanita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) bersama bagasi yang dibawanya mengandungi 18 bungkusan dadah jenis ganja seberat 18.2 kilogram, pada Rabu lalu.

Wanita yang bekerja sebagai ejen insurans sambilan itu ditahan pada jam 3.25 petang sebaik tiba dengan penerbangan dari Kuala Lumpur dan direman selama tujuh hari bermula 29 April lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pengarah JKDM Sarawak, Herman Shah Abdullah, berkata siasatan awal mendapati wanita itu mengaku pergi ke Semenanjung pada 22 April lalu kerana melawat ibunya yang sedang dirawat di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, ketika berada di hospital itu, wanita terbabit mendakwa didatangi rakannya yang meminta bantuannya untuk membawa sebuah bagasi ke Kuching dan diberi ganjaran pekerjaan di sebuah syarikat di Serian sebaik selesai menjalani kuarantin 14 hari di Kuching.

Katanya, dadah yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM45,660 dan ia rampasan dadah terbesar dilakukan pihaknya tahun ini.

“Wanita itu dikatakan tertarik dengan tawaran pekerjaan di sebuah syarikat di Serian yang dijanjikan rakannya yang ditemui di Kuala Lumpur, sehingga sanggup membawa bagasi besar dikirim rakannya itu ketika balik ke Kuching, Rabu lalu.

“Bagaimanapun, sebaik dia tiba dengan penerbangan dari Kuala Lumpur, pegawai JKDM yang bertugas di Unit Khas Pemeriksaan Penumpang (UKPP) melakukan imbasan terhadap bagasi dibawanya dan mendapati imej mencurigakan.

“Pemeriksaan lanjut terhadap bagasi itu menemui 18 bungkusan dadah jenis ganja seberat 18.2 kilogram yang dibalut kertas hadiah dan kertas karbon,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Sementara itu, Herman Shah berkata, dalam kes kedua pada jam 1.45 tengah hari Sabtu lalu, pegawai UKPP membuat imbasan terhadap sebuah bagasi yang tidak dituntut selepas tiba dari Kuala Lumpur pada 2 April lalu.

“Hasil imbasan itu menemui imej mencurigakan dan pemeriksaan lanjut menemui 19 bungkusan lut sinar mengandungi dadah jenis ganja.

“Pihak kami percaya, bagasi berkenaan sengaja ditinggalkan selepas pemiliknya menyedari kawalan dan pemeriksaan ketat dilakukan JKDM di pintu masuk LTAK,” katanya.

Beliau berkata, pengesanan terhadap pemilik bagasi yang mengandungi dadah dianggarkan bernilai RM46,730 itu sedang dijalankan dan berdasarkan rekod syarikat penerbangan, pihaknya percaya tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat.

“Siasatan juga dijalankan untuk mengenal pasti kemungkinan dua bagasi dirampas itu mempunyai kaitan,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2021/05/813203/kastam-tahan-wanita-bawa-bagasi-dadah-182-kilogram