SUBANG JAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menjangkakan peningkatan hasil kutipan cukai rokok meningkat sebanyak RM 1 bilion selepas beberapa langkah penguatkuasaan yang diambil.

Ketua Pengarahnya, Datuk Sri Subromaniam Tholasy, berkata anggaran kutipan yang dibuat setiap tahun adalah antara RM3.5 hingga RM3.6 bilion setahun.

“Namun kita menjangkakan peningkatan kutipan itu sebanyak RM4.6 bilion selepas beberapa langkah penguatkuasaan yang akan diambil oleh pihak Kastam.

“Bagi kutipan cukai arak pula kita menjangkakan hasil kutipan meningkat sebanyak RM300 juta pada tahun depan,” katanya.

Subromaniam berkata, antara langkah yang akan diambil adalah pindaan hukuman Akta Kastam 1967, mengenakan had minimum pengimportan rokok dan minuman keras dan menubuhkan Cawangan Siasatan Dalaman.

“Bagi Cawangan Siasatan Dalaman, unit ini akan memantau pegawai Kastam yang berada di pintu-pintu masuk negara, pegawai penguatkuasaan termasuk pegawai tinggi Kastam.

“Unit ini akan membuat laporan terus kepada Ketua Pengarah Kastam. Mereka juga diberi tanggungjawab mendakwa individu berkenaan di mahkamah mengikut akta Kastam sendiri,” katanya.

Menurutnya, sudah tiba masanya sampai Kastam melakukan pembersihan dari dalam dan luar melalui undang-undang sedia ada.

“Pegawai-pegawai penguatkuasa juga akan diberikan Indeks Prestasi Utama (KPI) secara individu.

“Mereka juga akan diberikan gajet bagi memantau ketika menjalankan kerja penguatkuasaan dan memenuhi KPI yang ditetapkan,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2018/12/507828/kastam-jangka-peningkatan-kutipan-cukai-rokok-rm1-bilion