ALOR SETAR 12 Dis. – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri berjaya merampas 4.75 juta batang rokok putih seludup yang dipercayai dari Vietnam susulan penahan dua lelaki di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh arah selatan, di Selangor, pada Sabtu lalu.
Rokok berjenama ‘Concept’ yang dipercayai untuk pasaran di sekitar Lembah Klang itu dianggarkan bernilai RM712,500 dengan cukai melebihi RM3.2 juta.
Pengarah JKDM negeri, Datuk Johari Alifiah berkata, serbuan kira-kira pukul 6.30 pagi yang melibatkan anggota cawangan Penguatkuasaan Alor Setar itu adalah hasil maklumat dan risikan pihaknya.
“Selain mencekup dua lelaki tempatan berusia 34 dan 49 tahun yang dipercayai diupah membawa rokok tersebut, kami turut menahan tiga buah lori di kawasan R&R tersebut. Namun, seorang lagi suspek dipercayai sempat melarikan diri.
“Pemeriksaan lanjut di bahagian belakang ketiga-tiga lori berkenaan menemukan sejumlah rokok putih yang disyaki menggunakan setem cukai palsu,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Tambah Johari, pihaknya masih menyiasat sama ada rokok-rokok tersebut dibawa masuk melalui laluan haram atau sindiket terbabit membuat helah dengan mengisytiharkan barangan lain ketika dibawa masuk ke negara ini.
“Dalang di sebalik kegiatan ini sedang disiasat dan kita meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar dapat menyalurkan kepada JKDM.
“Kita memberi jaminan identiti setiap pemberi maklumat akan dirahsiakan kerana penyeludupan bukan sahaja merugikan hasil negara tetapi mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Kata beliau lagi, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum 20 kali ganda daripada nilai barang atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya. – UTUSAN ONLINE
Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/kastam-tumpas-rokok-vietnam-rm3-9-juta-1.803640
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.