SUBANG JAYA 11 Dis. – Sindiket dan penjual rokok serta arak seludup akan dikenakan hukuman denda lebih tinggi dijangka bermula Januari ini selepas pindaan Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976.
Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Seri T. Subromaniam berkata, pindaan tersebut diluluskan Dewan Rakyat selepas bacaan kali ketiga di Parlimen semalam dan akan dibawa ke Dewan Negara dalam masa terdekat.
“Menerusi pindaan itu denda minimum yang dikenakan terhadap penjual jika menjual satu karton rokok ialah RM100,000 berbanding sebelum ini, 10 kali ganda nilai rampasan yang mana sangat rendah.
“Hentikanlah segera aktiviti menjual rokok tidak sah ini kerana jika tertangkap, hukuman yang bakal terima amat tidak berbaloi, kita harap pindaan kedua-dua akta itu akan dikuatkuasakan pada 1 Januari depan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Pengarah-Pengarah Kastam Se-Malaysia kali ke-86 di Holiday Villa di sini sebentar tadi.
Menurut Subromaniam, pindaan baharu Seksyen 135 memperuntukkan hukuman lebih berat iaitu bagi kesalahan pertama, penalti denda tidak kurang daripada 10 kali ganda amaun duti kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana amaun lebih besar dan tidak lebih 20 kali ganda amaun duti kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun lebih besar atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.
“Bagi kesalahan kedua atau berulang, penalti denda tidak kurang 20 kali ganda amaun duti kastam atau RM200,000 mengikut mana-mana amaun lebih besar dan tidak lebih 40 kali ganda amaun duti kastam atau RM1 juta mengikut mana-mana amaun lebih besar atau penjara tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya,” katanya. – UTUSAN ONLINE
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.