PUTRAJAYA 27 Nov. – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menasihatkan peniaga yang berdaftar di bawah cukai jualan dan perkhidmatan (SST) segera mengemukakan penyata SST-02 dan membuat bayaran sebelum 30 November ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri T. Subromaniam berkata, mereka yang gagal berbuat demikian boleh dikenakan penalti.
Setakat ini, kata beliau, sebanyak 14,085 peniaga telah membuat penyata dan bayaran, manakala sebanyak 12,943 peniaga telah mengemukakan penyata bagaimanapun belum membuat bayaran.
“Sepatutnya sebanyak 67,006 peniaga secara keseluruhan perlu mengemukakan penyata mereka buat pertama kalinya pada atau sebelum 30 November ini,” jelasnya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
SST telah dilaksanakan pada 1 September lalu bagi menggantikan cukai barang dan perkhidmatan (GST).
Bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan urusan dan cara mengemukakan penyata serta membuat bayaran secara atas talian, peniaga boleh melayari laman sesawang SST di www.mysst.customs.gov.my/SystemGuides atau menghubungi Pusat Panggilan Kastam ditalian 1300 888 500.- UTUSAN ONLINE
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.