JKDM rampas rokok bernilai RM4.6 juta di Pelabuhan Utara

PELABUHAN KLANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk rokok putih bernilai RM4.6 juta di Pelabuhan Utara dekat sini Selasa lepas.

Timbalan Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Seri Zulkifli Yahya berkata, rokok berkenaan dirampas setelah anggota JKDM bertindak menahan sebuah lori kontena yang baharu sahaja keluar dari Pelabuhan Utara pada kira-kira pukul 3 pagi.

“Pemeriksaan anggota kami mendapati terdapat kira-kira 6.4 juta batang rokok putih pelbagai jenama yang tidak dapat dibuktikan cukai kastam telah dibayar, disorok dalam kontena berkenaan.

“Siasatan kami turut mendapati sindiket berkenaan cuba mengaburi mata pihak kastam dengan mengisytiharkan rokok berkenaan sebagai Jute Yarn, bahan yang digunakan untuk membuat kusyen dan permaidani,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma JKDM Selangor di Pulau Indah di sini hari ini.

Tambah Zulkifli, pihaknya turut bertindak menahan pemandu lori warga tempatan berkenaan bagi siasatan lanjut.

Katanya, pemandu lori berusia 36 tahun itu sebelum ini pernah ditahan atas kesalahan sama pada September lepas dan kini sedang menunggu perbicaraan.

Beliau berkata, syarikat agen yang didapati sengaja memalsukan pengisytiharan barangan itu, lesen syarikat tersebut akan dibatalkan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967 jika sabit kesalahan boleh didenda minimum 10 kali ganda dan tidak lebih dari 20 kali ganda nilai barangan atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun. – Bernama

Sumber: http://www.kosmo.com.my/negara/jkdm-rampas-rokok-bernilai-rm4-6-juta-di-pelabuhan-utara-1.787945

By | November 16th, 2018|0 Comments

Leave A Comment