JOHOR BAHRU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup 300 kilogram dadah disyaki jenis methamphetamine bernilai RM18 juta yang dibawa menggunakan kontena di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Iskandar Puteri.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Subromaniam Tholasy, berkata cubaan seludup itu berjaya dipatahkan Cawangan Narkotik JKDM Johor Bahru pada 1 November lalu.

Katanya, hasil pemeriksaan semua dadah berkenaan disorok dalam penapis air dan diletakkan di dalam kontena sepanjang enam meter.

“Kontena berkenaan mengandungi dua tangki air, 50 kotak karton kosong dan 30 penapis air dipercayai bagi mengaburi pihak berkuasa dan kontena diikrar hanya membawa penapis air.

“Pemeriksaan lanjut yang dijalankan terhadap semua penapis air menemui beberapa bungkusan mampat berupa serbuk kristal putih disorok dalam tiga lapisan plastik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Menara JKDM Johor di sini, hari ini.

Subromaniam berkata, pihaknya turut menahan dua lelaki warga tempatan berusia 30 dan 35 tahun dipercayai ada kaitan dengan kes berkenaan.

“Semua barang kes dan lelaki berkenaan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Subromaniam berkata, pelaksanaan Pengurusan Bersama Sempadan (CBM) berjaya meningkatkan rampasan dadah pada tahun ini sehingga empat kali ganda berbanding tahun lalu.

“Pada tahun lalu, jumlah kuantiti rampasan dadah adalah 812 kilogram membabitkan nilai RM92 juta, manakala tahun ini sebanyak 3,110 kilogram dengan nilai RM141 juta.

“Tahun ini sahaja seramai 78 orang ditahan dan 30 daripadanya adalah warga tempatan, berbanding hanya 44 individu pada tahun lalu,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/11/496891/300-kg-dadah-bernilai-rm18-juta-disorok-dalam-penapis-air