KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah menggagalkan cubaan seorang lelaki tempatan membawa masuk dadah jenis syabu seberat 26.59 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM1.4 juta ke negeri ini melalui perkhidmatan kurier.
Lelaki berusia 38 tahun itu ditahan sepasukan anggota kastam ketika menuntut bungkusan didakwanya sebagai hadiah dan dipercayai dihantar dari Kuala Lumpur di sebuah premis perkhidmatan kurier di sini, Jumaat lalu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Madrim Tasan, berkata rampasan dan tangkapan dibuat pada jam 6.50 petang selepas anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM menerima maklumat berhubung perkara itu.
“Hasil pemeriksaan mendapati, dadah itu disimpan dalam bungkusan teh berwarna kuning yang diletakkan dalam beberapa kotak lampin pakai buang,” katanya dalam sidang media di Menara Kastam Sabah di sini, hari ini.
Madrim berkata, suspek direman bermula Sabtu lalu sehingga 4 Januari ini untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah berbahaya yang membawa hukuman mengikut Seksyen 39B akta sama,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, JKDM Sabah tahun ini mencatatkan 13 kes membabitkan dadah termasuk sembilan tangkapan dan empat kes rampasan dengan nilai lebih RM9.2 juta.
“JKDM Sabah komited mematahkan sindiket penyeludupan dadah ke negeri ini untuk menyelamatkan masyarakat daripada terjerumus dengan najis dadah. Kita juga memperketatkan kawalan di pintu masuk dan sempadan melalui penguatkuasaan undang-undang,” katanya.
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/12/513030/bungkusan-hadiah-berisi-syabu-rm14-juta
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.