MELAKA: Berkuatkuasa 1 Mac depan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan memperluaskan empat lagi skop perkhidmatan bercukai baharu yang dikenakan cukai perkhidmatan di bawah Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri T Subromaniam, berkata perluasan cukai baharu itu membabitkan perkhidmatan pengendalian taman hiburan, penyediaan pembrokeran dan penaja jaminan, pembersihan serta penyediaan latihan atau tunjuk ajar.

Beliau berkata, penambahan skop perkhidmatan cukai baharu itu juga dijangka membabitkan anggaran antara 5,000 hingga 10,000 syarikat berdaftar di seluruh negara, selain tidak membebankan golongan keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

“Sehubungan itu, mana-mana syarikat yang mempunyai perkhidmatan dan nilai perkhidmatan bercukai melebihi RM500,000 setahun sudah boleh mendaftar bermula esok atau sebelum 28 Februari 2019.

“Secara keseluruhannya, kita jangka akan ada penambahan hasil oleh kerajaan pada tahun depan yang akhirnya hasil (SST) ini dikembalikan semula kepada rakyat, termasuk golongan B40,” katanya pada sidang media di Hotel Ramada di sini, hari ini.

Terdahulu, dalam lawatan rasmi sehari ke negeri ini, Subromaniam melawat Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Melaka, Jeti Marina, Melaka International Cruise Terminal (MICT), pejabat JKDM Tanjung Bruas dan Pelabuhan Tanjung Bruas.

Yang turut hadir, Pengarah JKDM negeri, A Tuang dan Timbalan Pengarah JKDM negeri (Pengkastaman/Cukai Dalam Negeri), Noriah Abd Rahman.

Subromaniam berkata, bermula esok juga, JKDM akan mengecualikan cukai perkhidmatan kepada orang berdaftar SST dalam Kumpulan G (kumpulan profesional) yang memberikan perkhidmatan sama kepada orang berdaftar lain dalam Kumpulan G.

Katanya, pengecualian cukai itu sudah diumumkan dalam ucapan Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, sekali gus dapat mengelak peningkatan kos akibat percukaian berganda dan mengekalkan daya saing industri perkhidmatan tempatan.

“Pengecualian cukai perkhidmatan ini diberi secara automatik kepada pendaftar cukai perkhidmatan dalam kumpulan yang sama tetapi terhad kepada jenis perkhidmatan yang sama saja.

“Berikutan pengecualian cukai perkhidmatan ini, kita menjangkakan ia akan memberi manfaat antara 20,000 sehingga 25,000 syarikat yang menawarkan perkhidmatan profesional dan pengiklanan,” katanya.

Beliau berkata, semakan status syarikat yang bakal menerima perkhidmatan berkenaan boleh dibuat di portal https://mysst.customs.gov.my di pautan ‘Registration Status’.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/12/514813/jkdm-perluas-4-skop-perkhidmatan-cukai-baharu