Seludup rokok tumpas

SEPANG 31 Julai – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas sebanyak 2.145 juta batang rokok seludup membabitkan nilai cukai RM1.08 juta apabila mematahkan percubaan penyeludupan terbesar melalui laluan udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Zulkifli Yahya berkata, rokok pelbagai jenama bernilai RM171,600 itu dirampas menerusi penahanan sebuah lori di hadapan Hab Antarabangsa Pos Malaysia KLIA selepas membuat pengikraran kastam di Bahagian Pemeriksaan Kargo Import.

Katanya, dalam pemeriksaan kira-kira pukul 10.30 malam itu, pihaknya turut bertindak menahan pemandu lori berusia 49 tahun berkenaan selain dua lagi lelaki masing-masing berusia 38 dan 43 tahun yang mempunyai kaitan dengan sindiket penyeludupan tersebut.

“Hasil pemeriksaan 100 peratus ke atas lori tersebut menemukan sejumlah rokok yang disyaki belum lulus kastam. Siasatan awal menunjukkan dokumen yang dibawa oleh orang disyaki adalah berlainan dari dagangan yang ditahan.

“Rokok yang ditahan tersebut tiba melalui penerbangan kargo dari Phnom Penh, Kemboja ke Kuala Lumpur. Barangan tersebut diikrar sebagai konsol (barang-barang pelbagai) dan alamat yang digunakan adalah palsu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau memberitahu, modus operasi sindiket penyeludupan berkenaan adalah membawa dokumen yang berlainan daripada dagangan yang dibawa setelah melakukan pengikraran dengan pihak kastam.

“Dari segi laluan udara, ini adalah yang terbesar pernah kita rampas, mereka mencuba laluan baharu selepas laluan laut dan darat telah kita ketatkan, mereka nampak­nya mencuba laluan udara walaupun tambangnya mahal,” ujarnya.

Beliau memberitahu, ketiga-tiga suspek yang merupakan warga tempatan berkenaan ditahan reman selama tujuh hari dan disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967 iaitu mengimport barangan larangan.

“Jika disabit kesalahan boleh dihukum denda minimum tidak kurang dari 10 kali ganda atau maksimum 20 kali ganda dari nilai barangan yang disita atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.

Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/seludup-rokok-tumpas-1.509726

By |2017-08-04T10:25:16+08:00August 4th, 2017|0 Comments

Leave A Comment

Go to Top