SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) merampas 288 kilogram (kg) sisik tenggiling bernilai RM3.69 juta. Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Datuk Paddy Abd Halim, berkata sisik berkenaan diseludup menerusi pesawat Penerbangan Turki dari Ghana ke KLIA pada 8 Jun lalu. Beliau berkata bertindak atas maklumat, anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM KLIA memeriksa Gudang Kargo Udara, Zon Perdagangan KLIA, pada 9 Jun lalu.

“Pemeriksaan mendapati sebanyak 12 kotak yang dicatatkan sebagai mengandungi cengkerang tiram dalam surat muatan udara yang menggunakan alamat palsu di Ampang, Selangor. “Selepas melihat pada destinasi akhir yang dicatatkan pada surat muatan udara, ia mungkin bertujuan untuk pasaran di negara ini. “Ini adalah rampasan kali ketiga membabitkan sisik tenggiling pada tahun ini, pengimportan sisik tenggiling adalah dilarang mengikut Perintah Kastam kecuali dengan permit import yang dikeluarkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN),” katanya.

Paddy berkata demikian pada sidang media di Kompleks Kastam KLIA, di sini hari ini. Hadir sama, Pengarah Kastam KLIA, Datuk Hamzah Sundang. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1) (a) Akta Kastam 1967 iaitu kesalahan mengimport barang larangan dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda minimum 10 kali ganda nilai barangan atau maksimum 20 kali ganda nilai barangan yang disita atau di penjarakan tidak lebih tiga tahun atau kedua duanya sekali.

Sumber : http://www.bharian.com.my/node/292453