BAHAGIAN Penguatkuasaan Kastam Cawangan Alor Setar merampas 164 kotak mercun dan bunga api bernilai RM225,239 termasuk cukai yang ditemui di dalam lori Isuzu tiga tan di Kilometer 52.5 Lebuhraya Utara Selatan, kelmarin.

Pengarah Kastam Kedah, Datuk Johari Alifiah berkata, lori dipandu lelaki tempatan berusia 30-an itu ditahan di Kilometer 52.5 Lebuhraya Utara Selatan jam 2.55 petang dan dipercayai dalam perjalanan dari Thailand untuk menghantar bekalan mercun itu ke Kuala Lumpur.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut menemui kotak mercun dan bunga api di bahagian belakang lori yang ditutup dengan kanvas.

“Ini rampasan terbesar setakat ini walaupun sebelum ini kita merekodkan sembilan kes tangkapan mercun dan bunga api sepanjang Ramadan ini.

“Pemandu dan lori itu dibawa ke pejabat Kastam Cawangan Penguatkuasaan Alor Setar untuk siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 iaitu mengangkut barang larangan belum lulus kastam,” katanya.

Johari berkata, sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang dan sehingga 20 kali ganda nilai barang atau dipenjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, tangkapan itu hasil maklumat awam dan pihaknya mengalu-alukan sebarang maklumat berhubung penyeludupan mercun dan bunga api masuk ke negara ini.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan melalui talian hotline 1800-888-855 atau menghubungi 04-7751212,” katanya.

Sumber: http://www.hmetro.com.my/mutakhir/2017/06/237791/rampasan-mercun-terbesar-metrotv