SEPANG 10 April – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mematahkan cubaan menyeludup 18 tanduk badak sumbu bernilai RM13.67 juta, 7 April lalu.
Kejayaan itu merupakan rampasan terbesar dan pertama di negara ini yang membabitkan barang diharamkan import mengikut undang-undang Malaysia.
Pengarah JKDM KLIA, Datuk Hamzah Sundang berkata, tanduk badak sumbu yang kesemuanya seberat 51.44 kilogram (kg) itu dirampas setelah pihaknya mengesyaki kotak kayu yang tiba di negara ini mengandungi barang terlarang.
Menurut beliau, kotak kayu tersebut tiba di Gudang Kargo Udara Zon Perdagangan Bebas KLIA pada pukul 5.40 petang menerusi penerbangan Qatar Airways dari Mozambique yang sebelum itu transit di Doha, Qatar.
“Kargo itu pada mulanya diisytiharkan dalam surat muatan udara sebagai barangan perhiasan seni dan alamat penerima di Nilai, Negeri Sembilan adalah palsu.
“Kastam percaya bahawa tanduk ini dibawa masuk untuk tujuan pasaran tempatan. Namun kami masih menyiasat berhubung perkara ini termasuk pihak yang terlibat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Hamzah memberitahu, mengimport tanduk badak sumbu adalah dilarang mengikut Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686) kecuali dengan permit.
Katanya, mengimport barangan terlarang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 135(1) (a) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda maksimum 20 kali ganda nilai barangan disita atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.
“Rampasan ini merupakan kejayaan terbesar JKDM KLIA dan kita akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyeludupan di negara ini,” katanya.
Sementara itu, Hamzah memaklumkan pihaknya turut berjaya membanteras cubaan membawa masuk dadah jenis ketamin seberat 2.12 kg bernilai RM95,4000 dari Chennai, India di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), 5 April lalu.
Kata beliau, pihaknya mendapati sebuah beg dibawa masuk oleh seorang ahli perniagaan warga India mengandungi serbuk kristal putih yang disahkan dadah.
“Lelaki berusia 65 tahun itu kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum gantung sampai mati,” katanya.
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.