KUCHING 11 April – Sebanyak 20 peratus daripada 437,000 syarikat yang menghantar penyata cukai barang dan perkhidmatan (GST) kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) didapati mengemukakan maklumat pembayaran yang meragukan.
Ketua Pengarahnya, Datuk T. Subromaniam berkata, pada masa sama terdapat kira-kira 25,000 syarikat yang berdaftar dengan jabatan itu tidak mengemukakan penyata GST setakat ini.
“Memang ada syarikat didapati tidak menyerahkan penyata GST kepada JKDM iaitu kira-kira 25,000 syarikat manakala daripada 437,000 syarikat yang menghantar penyata GST, kira-kira 20 peratus didapati mengemukakan penyata yang meragukan,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran Operasi Strategi Lautan Biru Kastam (CBOS) 3.0 di Wisma Kastam di sini hari ini.
Beliau berkata, masalah penyata yang meragukan itu menjadi fokus JKDM dalam operasi CBOS 3.0 yang berlangsung sehingga 31 Disember ini.
Menurutnya, dalam operasi tersebut, para pegawai akan mengadakan lawatan ke syarikat-syarikat yang terlibat untuk memastikan mereka mematuhi undang-undang pembayaran cukai secara sukarela.
Katanya, lawatan itu juga bertujuan mengesan punca syarikat berdaftar tidak mengemukakan penyata iaitu sama ada sudah tidak beroperasi, berpindah atau sengaja mengelak membayar GST.
Katanya, sasaran operasi CBOS 3.0 adalah melawat 200,000 syarikat dalam setahun bagi memastikan syarikat yang berdaftar dengan GST mengemukakan penyata pembayaran dengan tepat.
“Mengemukakan penyata GST tidak tepat atau sengaja melarikan diri daripada membayar GST merupakan satu kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 (AMLA) iaitu bermakna JKDM boleh mengambil tindakan membeku akaun atau menyita harta pesalah.
“Namun, kita tidak mahu mengambil tindakan drastik seumpama itu lalu memperkenalkan langkah pertama iaitu menggunakan pendekatan mesra, CBOS 3.0 kerana mahu pemilik syarikat mematuhi undang-undang secara sukarela,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, kebanyakan GST dikutip daripada pengguna di negara ini adalah diperoleh dari kawasan Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, CBOS 3.0 yang diperkenalkan sejak tahun lalu berjaya melonjakkan jumlah pungutan hasil JKDM sebanyak RM1.5 bilion melebihi angka sasaran.
Sehubungan itu katanya, JKDM yakin operasi itu akan memberi kesan berganda ke atas kecekapan pengurusan organisasi jabatan itu dan menyumbang hasil tambahan RM3 bilion berbanding angka sasaran pada tahun ini.
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.