Duti eksais MPV, SUV, van 1.5 liter kembali ke paras 60%

KUALA LUMPUR 12 April – Duti eksais untuk kenderaan pelbagai guna (MPV), kenderaan utiliti sukan (SUV) dan van berkapasiti 1.5 liter ke bawah kekal pada kadar 60 peratus berkuatkuasa serta-merta.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Subromaniam Tholasy berkata, penetapan kadar duti eksais baharu pada 65 peratus bagi ken­deraan pacuan dua dan empat roda berkapasiti enjin tidak me­lebihi 1.5 liter didapati telah memberi impak ke atas kenderaan dipasang sepenuhnya (CBU) import berbanding kenderaan pema­sangan tempatan (CKD).

Katanya, langkah pewartaan Perintah Duti Kastam 2017 yang berkuatkuasa 1 April lalu bertujuan untuk menyelaraskan penggunaan kod tarif Harmonised Systems (HS) 2012 kepada HS 2017 bagi mematuhi komitmen negara selaku ahli Organisasi Kastam Dunia (WCO) dan ASEAN.

“Sehubungan itu, mengambil kira permintaan rakyat untuk kenderaan CBU import masih tinggi, kerajaan bersetuju menetapkan semula kadar duti eksais pada 60 peratus berkuatkuasa serta-merta.

“Dalam tempoh peralihan sementara pindaan yang akan diwartakan dan berkuatkuasa mulai esok, langkah untuk memberi pengecualian duti eksais melebihi 60 peratus akan diberikan bagi kenderaan yang terlibat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Utusan Malaysia Sabtu lalu, melaporkan JKDM dalam Warta Kerajaan Persekutuan mencatatkan tentang kenaikan duti eksais tersebut yang secara langsung akan menyebabkan berlaku kenaikan harga baharu de­ngan antara model yang terbabit dalam kenaik­an duti eksais termasuk Perodua Alza, Proton Ertiga, Toyota Avaza, Toyota Sienta dan Honda BR-V.

Menurut Akta Eksais 1976 dalam Perintah Duti Eksais 2017 yang berkuat kuasa 1 April 2017 yang menggariskan bahawa Duti Eksais hendaklah dilevi ke atas dan dibayar oleh pengilang atau pengimport.

Mengulas lanjut, Subromaniam berkata, penetapan semula kadar duti eksais perlu dipatuhi dengan syarikat pengeluar kenderaan perlu mengekalkan harga kenderaan kepada pembeli dan tidak boleh menaikkan harga atas alasan kenaikan kadar duti eksais sebelum ini.

Jelasnya lagi, langkah pewartaan duti eksais pada kadar 65 peratus dilakukan selepas menyelaras kod tarif baru bagi kenderaan pacuan dua dan empat roda di bawah 1.5 liter yang digabungkan menjadi kod tarif baharu iaitu 8703.22 9010 dan 8703.22 9090.

“Penetapan kadar baharu pada asalnya mengambil kira kadar 65 peratus yang masih rendah berbanding kadar duti eksais bagi kenderaan penumpang berkapasiti enjin tidak me­lebihi 1.8 liter ke bawah iaitu pada 75 peratus.

“Penetapan pada 65 peratus juga tidak bertujuan meningkatkan hasil tetapi lebih kepada pemakaian kadar pertengahan di antara 60 peratus hingga 75 peratus,” katanya.

By | April 13th, 2017|0 Comments

Leave A Comment