PELABUHAN KLANG: Peniaga yang menjual rokok dan arak seludup boleh didenda tidak kurang RM100,000 apabila Akta Kastam 1967 dipinda. Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk T Subromaniam, berkata cadangan meminda Seksyen 135(1) akta itu sudah diluluskan oleh Peguam Negara dan usul mengenainya dijangka dibentang di Parlimen, Julai ini. “Apabila akta baharu ini dikuatkuasakan, mana-mana pihak yang menjual rokok walaupun hanya sekotak, akan dikenakan hukuman keras berbanding peruntukan sedia ada. “Pindaan Seksyen 135(1) membabitkan kesalahan menyimpan, mengangkut, menghantar, mengedar, menyorok, memiliki dan menjual rokok atau minuman keras yang belum diluluskan.
“Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan denda tidak kurang RM100,000 atau 10 kali nilai duti atau cukai, yang mana lebih tinggi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kastam Selangor di sini, hari ini. Ketika ini, Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967, memperuntukkan hukuman denda maksimum 20 kali nilai barang atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Sementara itu, JKDM merampas empat kontena mengandungi rokok dan arak bernilai RM2.64 juta kerana gagal mengemukakan lesen import di Zon Bebas Pelabuhan Barat di sini, kelmarin.
Subromaniam berkata, siasatan awal mendapati semua barangan itu dipercayai dari negara jiran yang menjadikan Pelabuhan Barat sebagai transit. “Kontena itu mengandungi kira-kira 32.7 juta batang rokok dan 18,240 tin serta 6,019 liter arak, membabitkan nilai cukai lebih RM21 juta. “Tiada tangkapan dibuat dan kita sedang mengenal pasti syarikat pengimport barangan berkenaan,” katanya. Katanya, ia adalah kes pertama membabitkan Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 yang mula dikuatkuasakan 1 April lalu.
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.