SEPANG 4 Jan. – Cubaan satu sindiket antarabangsa untuk menyeludup gading gajah ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) gagal selepas dipatahkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) KLIA, di sini Ahad lalu.
Pengarah Kastam KLIA, Datuk Hamzah Sundang berkata, gading gajah tersebut berjaya dirampas selepas pasukan penguat kuasanya menemukan 17 kotak yang disyaki membawa barang larangan import di Gudang Kargo Udara, Zon Perdagangan Bebas KLIA.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan rapi yang dijalankan ke atas kesemua kotak tersebut menemukan gading gajah seberat 846.2 kilogram atau 254 batang bernilai RM7.232 juta.
“Kesemua kotak yang dirampas itu tiba melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kinshasa, Congo selepas transit di Lapangan Terbang Ataturk Istanbul, Turki ke KLIA.
“Siasatan awal menunjukkan gading gajah yang dirampas ini dicatatkan sebagai wood samples (sampel kayu) di dalam surat muatan udara dan menggunakan alamat yang salah,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Hamzah, setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat dan pihaknya masih menjejaki suspek yang terlibat.
Ujarnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967 iaitu mengimport barang larangan dan jika sabit kesalahan boleh didenda minimum 10 kali nilai atau maksimum 20 kali ganda daripada nilai barangan yang disita atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Gading gajah dilarang diimport di bawah jadual ketiga Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686) kecuali dengan permit.
“Pada masa sama, gading gajah juga disenaraikan sebagai barang yang dilarang import di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2012 kecuali dengan permit import dari Jabatan Perlindungan Hidupan dan Taman Negara (Perhilitan),” jelasnya.
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.