ISKANDAR PUTERI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menyeludup lebih 19.35 juta batang rokok putih dan keretek membabitkan nilai RM17.74 juta susulan penahanan dua kontena di Pelabuhan Pasir Gudang di sini, dua minggu lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) JKDM, Datuk Johari Alifiah, berkata ia membabitkan dua kontena syarikat berasingan pada tarikh 18 dan 19 Mei lalu.

Katanya, kedua-dua kontena berukuran 19.12 meter itu, masing-masing mengikrarkan barang dagangan klip besi keluli dari China dan peralatan aluminium dari Vietnam, selain tersadai lebih sebulan di pelabuhan tanpa dituntut mana-mana pihak.

“Dalam kes pertama pada 18 Mei lalu kira-kira jam 12 tengah hari, sepasukan anggota JKDM daripada Stesen Penguatkuasaan Pasir Gudang menahan sebuah kontena mencurigakan dari China yang mengikrarkan membawa klip besi keluli.

“Namun pemeriksaan lanjut mendapati, kontena berkenaan mengandungi 8,757,200 juta rokok putih dan kretek daripada 44,810 karton yang dianggarkan bernilai RM2,205,304 juta dengan cukai terbabit sebanyak RM6,000,282.40.

“Dalam kes kedua pada 19 Mei pula, pada jam 10.50 pagi, sepasukan pegawai Kastam Bahagian Operasi Penguatkuasaan Johor Bahru memeriksa sebuah kontena mencurigakan di Container Inspection Bay (CIB) di Pelabuhan Johor,Pasir Gudang yang mengikrarkan membawa barangan aluminium dari Vietnam.

“Namun hasil pemeriksaan lanjut mendapati kontena berkenaan dipenuhi dengan kotak berlabel ‘R’ dan apabila dibuka ia mengandungi rokok yang berjumlah 10.6 juta batang daripada 53,000 karton yang dianggarkan bernilai RM1.48 juta dengan cukai terbabit sebanyak RM8.05 juta, ” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kompleks Penguatkuasaan Kastam Sungai Pulai, Gelang Patah, di sini, hari ini.

Johari berkata, seorang ejen penghantaran yang membuat ikrar barangan bagi kontena dari Vietnam ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Katanya, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a)Akta Kastam 1967 yang membawa hukuman maksimum 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih tinggi atau dipenjarakan maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan barangan termasuk rokok, minuman keras, dadah dan mercun boleh menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam berhampiran.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/06/695507/kastam-rampas-rokok-seludup-bernilai-lebih-rm17-juta