PELABUHAN KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menyeludup 83,000 liter air zam zam yang dianggarkan bernilai RM1.3 juta dalam satu operasi di Pelabuhan Barat, dekat sini.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Datuk Zulkurnain Mohamed Yusuf, berkata cubaan menyeludup itu dipatahkan selepas Bahagian Penguatkuasaan, JKDM Zon Tengah, Unit II (Selangor) melakukan pemeriksaan ke atas tiga kontena pada 4 Jun lalu.
“Hasil pemeriksaan ke atas tiga buah kontena berkenaan mendapati barang dagangan yang dibawa adalah air zam zam bagaimanapun ia diikrarkan membawa muatan buah kurma dari negara Asia Barat.
“Kuantiti rampasan dianggarkan sebanyak 83,000 liter dan dianggarkan bernilai RM1.3 Juta manakala anggaran jumlah duti serta cukai adalah sebanyak RM343,000.
“Air zam zam di klasifikasi sebagai dagangan terlarang mengikut Butiran 74, Jadual Ketiga/Bahagian I, Perintah Kastam(Larangan Mengenai Import)2017,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, pengimport dan ejen penghantaran yang terbabit dalam pengimportan air zam zam berkenaan sedang disiasat.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(g), Akta Kastam 1967.
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/06/698321/air-zam-zam-lebih-rm1-juta-dirampas
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.