NILAI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang berselindung di sebalik perniagaan susu unta dan susu kambing pracampuran.
Dalam operasi itu, Ketua Pengarah Kastam, Datuk Abdul Latif Abdul Kadir, berkata pihaknya merampas 2,500 kilogram dadah bernilai RM100 juta, iaitu rampasan terbesar itu.
Beliau berkata, rampasan dilakukan susulan penahanan sebuah kontena di Pelabuhan Klang, Selangor, pada 4 Jun lalu.
Katanya, dalam serbuan pada 1 tengah hari itu, Kastam berjaya menemui sejumlah produk susu unta dan susu kambing pracampuran keluaran tempatan yang turut mengandungi dadah ketamin seberat 2,500 kilogram.
“Kontena itu tiba dari sebuah pelabuhan di Asia Selatan dan turut ditahan seorang lelaki warga asing berusia 55 tahun dan seorang wanita tempatan berusia 40 tahun yang disyaki terbabit, dalam rangkaian sindiket antarabangsa ini.
“Hasil siasatan awal mendapati kontena berkenaan yang diikrar sebagai serbuk susu unta dieksport keluar dari negara ini pada akhir 2019.
“Bagaimanapun kandungan di dalam kontena terbabit dipercayai ditukar kepada dagangan yang hampir serupa tetapi diisi dengan campuran serbuk disyaki mengandungi dadah ketamin sebelum diimport semula,” katanya di sini.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di di sini yang turut dihadiri Penolong Ketua Pengarah Kastam, Datuk Johari Alifiah dan Timbalan Ketua Pengarah Kastam Cawangan Narkotik, Koh Joo Kai.
Mengulas lanjut, Abdul Latif berkata, kedua-dua suspek berkenaan ditahan reman selama 10 hari bermula 4 Jun lalu bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau berkata, rampasan itu yang terbesar tahun ini dan kes pertama kali modus operandi yang menggunakan produk pracampuran.
“Selain itu, ini juga kali pertama produk ditolak oleh negara penerima dan dihantar semula ke negara ini.
“Kami percaya produk ini dicampur dengan dadah di negara penerima,” katanya.
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/06/698397/kastam-rampas-dadah-rm100-juta
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.