SANDAKAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas kira-kira 50 kilogram (kg) dadah disyaki jenis metaphetamine dianggar bernilai RM2.08 juta di Lapangan Terbang Sandakan di sini minggu lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Abdullah Jaapar, berkata kes itu dikesan pada 23 Jun membabitkan empat lelaki tempatan berusia antara 19 hingga 23 tahun yang tiba menaiki pesawat komersial dari Kuala Lumpur.

“Dadah dalam plastik lutsinar dibaluti tuala mandi ditemui dalam bagasi masing-masing dalam Operasi ‘Ice Break’ yang digerakkan di seluruh negara sejak 22 Jun lalu.

“Mereka (suspek) kini ditahan untuk didakwa di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pada 23 Jun lalu, JKDM Sabah merampas bungkusan mengandungi kira-kira tiga kg dadah disyaki metamphetamine dianggar bernilai RM150,000 yang diikrar sebagai tudung di MAS Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Ia susulan penahanan seorang lelaki tempatan berumur 46 tahun dan tiga warga asing membabitkan dua wanita dan seorang lelaki masing-masing berusia 19, 23 dan 45 tahun, mengikut Seksyen 39B ADB 1952.

Abdullah berkata, sepanjang enam bulan pertama tahun ini, JKDM Sabah merampas dadah dianggar bernilai RM3.5 juta dan rokok serta minuman keras tanpa cukai masing-masing bernilai RM5.3 juta dan RM3.4 juta. – BERNAMA

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/06/705294/kastam-sabah-rampas-dadah-rm208-juta