KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 3.8 juta batang rokok putih bernilai RM2.8 juta termasuk cukai menerusi serbuan di Kampung Telaga Papan, Terengganu, Jumaat lalu.

Serbuan terhadap dua lori berkenaan dilakukan Pasukan Operasi Cawangan Penguatkuasaan Pengkalan Kubor jam 6 petang.

Pengarah JKDM Kelantan, Mohd Rakbi Mat Saud, berkata serbuan pertama jam 6 petang selepas mendapati sebuah lori jenis Hino dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, pihaknya mengejar sejauh 200 meter sebelum berjaya memintas di kawasan kampung dan hasil pemeriksaan menemui 1.4 juta batang rokok bernilai RM112,000.

“Kira-kira 15 minit kemudian, pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah lori lain di lokasi yang sama sebelum menemui beratus kotak mengandungi rokok putih dalam kenderaan berkenaan.

“Hasil serbuan itu, kita berjaya merampas 2.4 juta batang rokok bernilai RM192,000.

“Hasil keseluruhan rampasan membabitkan kedua-dua lori berkenaan sebanyak 3.8 juta batang rokok dianggarkan bernilai RM2.8 juta termasuk cukai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, modus operandi bagi lori pertama yang digunakan suspek adalah menggunakan kenderaan yang diisi barang perabot terpakai bagi mengaburi JKDM.

“Lori kedua pula membawa rokok menggunakan kenderaan untuk mengangkut barangan dagangan.

“Bekalan rokok terbabit dipercayai untuk edaran di negeri ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya.

Mohd Rakbi berkata, orang ramai digesa membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun dan dadah.

“Kita meminta orang ramai untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/08/724174/jkdm-kelantan-rampas-38-juta-batang-rokok-putih