Putrajaya: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyelamatkan RM2.1 bilion hasil kerajaan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini susulan penguatkuasaan ketat dan kemampuan mengesan taktik kegiatan penipuan cukai serta penyeludupan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Latif Abdul Kadir, berkata penguatkuasaan ketat menutup ruang bagi kegiatan mengelak cukai, antaranya penyeludupan rokok dan barangan lain, manakala proses audit yang lebih berkesan membolehkan JKDM mengesan dan serta kembali cukai berkaitan yang sepatutnya dibayar kepada kerajaan.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya menyasarkan untuk menutup ketirisan hasil kerajaan sehingga RM5 bilion menjelang hujung tahun ini.

Abdul Latif mendedahkan, tiga barang utama yang banyak diseludup ke negara ini, sama ada melalui laluan udara, laut atau darat adalah dadah, rokok dan minuman keras.

“Tahun lalu, kita berjaya menutup ketirisan hasil sebanyak RM2 bilion dan saya jangka pada tahun ini, kita mampu mencapai sasaran RM5 bilion, tetapi semua pegawai dan anggota mesti bekerja keras,” katanya dalam temu bual bersama BH.

Mengenai modus operandi digunakan pihak yang mengelak atau menipu cukai, beliau berkata, mereka menggunakan pelbagai taktik untuk tujuan berkenaan, antaranya menipu pengisytiharan cukai dan memalsukan lesen import.

“Sebagai contoh, mahu bawa masuk rokok, tetapi ikrar sebagai barangan am seperti pakaian, alat perhiasan dan permainan, iaitu barangan yang dilihat kurang disyaki. Selain itu, ada juga yang memalsukan lesen import dengan mengubah tarikh sah laku lesen berkenaan.

“Jika penyeludupan rokok, ada yang tidak mengikrarkan barangan berkenaan dan menggunakan setem cukai palsu. Kita tengok ada setem cukai, jadi orang awam yakin, tetapi sebenarnya setem cukai itu adalah palsu,” katanya.

Pertengahan tahun lalu, Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Datuk Seri Ismail Bakar dilaporkan berkata, kerajaan kerugian antara RM3 bilion hingga RM5 bilion setahun akibat kebocoran hasil yang berlaku di pintu masuk negara.

Bagi memperkukuh tugas penguatkuasaan, Abdul Latif berkata, JKDM sudah membuat perolehan baharu mesin pengimbas yang akan dibekalkan secara berperingkat sehingga 2021 sebagai tambahan kepada 167 mesin sedia ada di seluruh negara untuk mengimbas barangan, badan dan bagasi.

“Kita masih berunding dengan Kementerian Kewangan untuk menambah lagi (mesin pengimbas) kerana ada antara mesin sedia ada perlu dilupuskan berikutan sudah begitu lama digunakan,” katanya turut mengingatkan penguat kuasa juga perlu peka dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan secara habis-habisan .

Sementara itu, beliau berkata, Malaysia menyediakan banyak kemudahan untuk perdagangan antarabangsa, antaranya Zon Bebas, Pulau Bebas Cukai (PBC) dan Pelabuhan Bebas bagi merancakkan ekonomi serta menarik pelaburan, namun ia disalahgunakan pihak tertentu untuk mengaut untung mudah.

“Jadi, kita tidak mahu kerajaan beri banyak kemudahan dengan caj yang sangat rendah berbanding negara lain, tetapi duit itu tidak masuk kepada kita. Kita tidak mahu ‘kapal’ kita bocor, kita mesti tutup ketirisan hasil ini sebaik mungkin,” katanya.

‘Penyeludup makin berani, selamba’

Putrajaya: Berani dan selamba. Itu taktik digunakan penyeludup barang larangan ke negara ini, sama ada dadah atau haiwan eksotik yang hanya diletakkan dalam bagasi, dibungkus dengan tuala atau selamba diletakkan di celah kain bagi mengelak menarik perhatian atau curiga pihak berkuasa.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Abdul Latif Abdul Kadir, berkata taktik seumpama itu sering digunakan penyeludup kira-kira lima hingga enam tahun lalu, tetapi kini kembali popular kerana ia membuatkan penyeludup kurang disyaki.

“Modus operandi mereka sentiasa bertukar, namun selalunya mereka guna taktik sama berulang-ulang, tetapi Kastam sangat sedar perubahan taktik ini.

“Jika cuba seludup dadah, terutama antara negeri, contohnya dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak, mereka hanya letak dadah dalam bagasi biasa, sekadar dibungkus tuala atau kerajang aluminium.

“Ia membuatkan rasa curiga terhadap mereka rendah dan mengelirukan pihak berkuasa, lebih-lebih lagi jika dibawa dalam keadaan biasa dan (penyeludup) tidak menunjukkan reaksi meragukan,” katanya kepada BH.

Bagaimanapun, Abdul Latif berkata, JKDM biasanya dapat mengesan taktik berkenaan apabila penyeludup tiba di balai ketibaan lapangan terbang, contohnya kes di Kota Kinabalu dan Sandakan di Sabah, baru-baru ini.

Pada 23 Jun lalu, JKDM Sabah merampas kira-kira 50 kilogram (kg) dadah disyaki metaphetamine dianggar RM2.08 juta di Lapangan Terbang Sandakan yang diisi dalam plastik lut sinar dan dibaluti tuala mandi serta diletakkan dalam bagasi penyeludup.

JKDM turut merampas bungkusan mengandungi kira-kira 3kg dadah disyaki jenis sama dianggar bernilai RM150,000 yang diikrar sebagai tudung di MAS Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Abdul Latif berkata, pegawai JKDM kini lebih berhati-hati dan teliti membuat pemeriksaan, termasuk menggunakan mesin pengimbas, walaupun hanya membabitkan rakyat tempatan yang melakukan perjalanan antara negeri.

Mengenai penyeludupan haiwan eksotik, beliau berkata, antara haiwan sering diseludup adalah burung murai batu, kura-kura bintang, benih kerang dan ular, manakala organ haiwan pula adalah sisik tenggiling, gading gajah dan sumbu badak yang kebanyakannya diseludup dari Afrika.

“Kita pernah rampas sisik tenggiling di Sabah sehingga dua kontena. Selain itu, haiwan yang masih bernyawa biasanya dibawa sekali dengan penumpang (penyeludup) kerana jika diletakkan di dalam kargo, haiwan berisiko mati.

“Ada yang mendakwa haiwan ini digunakan untuk perubatan, tetapi kita tidak tahu siapa pengguna akhir kerana kebanyakan mereka guna alamat palsu, selain menyembunyikannya di sebalik dagangan diikrar seperti kacang, mesin, peralatan, produk makanan dan pakaian,” katanya.

Beliau berkata, apa yang mengejutkan adalah penyeludupan barang terlarang tetap berlaku, walaupun ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan yang paling popular diseludup adalah rokok.

“Saya difahamkan, bekalan rokok kurang di pasaran (ketika PKP) dan ramai mencari rokok murah. Hasil risikan, kami dapati rokok tidak sah ini dijual sehingga RM9 sekotak, sedangkan di pasaran gelap, harganya hanya antara RM4 hingga RM6,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/08/718935/kastam-selamatkan-hasil-kerajaan-enam-bulan-rm21-bilion