SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mendedahkan laluan udara kini menjadi pilihan sindiket bagi menyeludup rokok haram sejak dua bulan lalu, susulan penguatkuasaan ketat di pintu masuk laut khususnya di Pelabuhan Klang.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah JKDM, Datuk Zulkurnain Mohamed Yusuf, berkata sejak awal Ogos hingga semalam, lima cubaan menyeludup rokok putih berjaya digagalkan membabitkan rampasan 8.84 juta batang rokok (442,000 paket rokok) bernilai RM6.78 juta termasuk duti dan cukai di Zon Bebas Komersial (FCZ) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket terpaksa mengubah modus operandi dengan menjadikan laluan udara bagi menyeludup rokok berskala besar sejak dua bulan lalu.
“Kita percaya sindiket mengubah modus operandi mereka selepas tindakan penguatkuasaan ketat di pintu masuk laut negara khususnya di Pelabuhan Klang oleh pasukan petugas khas Ketirisan Hasil RMK (rokok dan minuman keras) sejak dua bulan lalu.
“Siasatan juga mendapati susulan penguatkuasaan ketat, sindiket dikatakan terpaksa menanggung kos kargo udara lebih tinggi berbanding menggunakan kapal yang jauh lebih murah sebelum ini.
“Sindiket ini terpaksa menanggung kos RM30 sekilogram bagi muatan di bawa. Jika dihitung, bagi lima kes rampasan 8.84 juta batang rokok itu (7,514 kilogram), sindiket dikatakan membelanjakan sekitar RM225,420 untuk kos kargo udara saja,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Mengulas lima serbuan itu, Zulkurnain berkata, kes pertama pada 6 Ogos lalu membabitkan rampasan 2.94 juta batang rokok putih dianggarkan bernilai RM1.97 juta termasuk duti dan cukai di sebuah gudang di FCZ, KLIA kerana disyaki diimport tanpa lesen import sah.
“Siasatan mendapati, rokok berkenaan dibawa dari Singapura dan diikrar sebagai barangan alat ganti,” katanya.
Bagi kes kedua pula, beliau berkata, rampasan dibuat pada 14 Ogos lalu di sebuah gudang di FCZ, KLIA membabitkan 1.3 juta batang rokok dianggarkan bernilai RM871,000 termasuk duti dan cukai dibawa dari Vientiane, Laos.
Katanya, kes ketiga pula membabitkan rampasan 1.3 juta batang rokok di sebuah gudang di FCZ, KLIA dengan anggaran nilai RM868,000 termasuk duti dan cukai. Siasatan mendapati, rokok berkenaan dibawa dari Vientiane, Laos.
“Bagi kes keempat, pegawai penguat kuasa berjaya menyita 1.3 juta batang rokok di sebuah gudang di FCZ, KLIA, semalam (kelmarin) dengan anggaran nilai rokok RM871,000 termasuk duti dan cukai.
“Bagi kes kelima pula, pasukan sama turut merampas dua juta batang rokok di sebuah gudang di FCZ, KLIA pada hari sama dengan nilai anggaran rokok RM1.35 juta termasuk duti dan cukai,” katanya.
Sementara itu, Zulkurnain berkata, pihaknya masih menyiasat pengimport rokok berkenaan kerana siasatan mendapati, alamat dan nama syarikat pengimport digunakan tidak wujud.
Katanya, sebelum ini, ada kes penyeludupan rokok melalui udara, namun dalam skala kecil dan bukannya kuantiti yang banyak seperti lima kes rampasan terbabit.
“Rokok diseludup itu untuk pasaran tempatan dan jenamanya adalah John White, John D-Blend dan L.A.
“Siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengenal pasti sama ada semua kes ini dikendalikan sindiket sama atau tidak,” katanya.
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.