KELANA JAYA: Tindakan sindiket penyeludupan arak dan rokok memanipulasi pengisytiharan barangan diimport gagal apabila Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 4.5 juta batang rokok dan 1,224 karton arak bernilai hampir RM3.7 juta.

Dalam serbuan pada jam 12.30 tengah malam Jumaat lalu, sepasukan anggota kastam dari Bahagian Penguatkuasaan Unit 1 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah kontena di kawasan gudang dalam Zon Bebas Cukai, Pelabuhan Barat, Pulau Indah, Selangor.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Datuk Zulkurnain Mohamed Yusuf, berkata hasil imbasan melalui mesin pengimbas, kontena berkenaan disyaki membawa barang dagangan tidak sama dengan barang dagangan diisytiharkan.

“Kontena itu dibawa balik ke pejabat kastam untuk pemeriksaan lanjut. Hasil pemeriksaan mendapati barangan dimuatkan adalah rokok putih berjenama U2 dan arak dipercayai belum lulus kastam,” katanya pada sidang media di Pejabat JKDM Zon Tengah Unit 1, di sini, hari ini.

Zulkurnain berkata, susulan itu pihaknya menahan seorang lelaki berusia 36 tahun dipercayai pemandu kontena berkenaan untuk siasatan lanjut dan lelaki itu direman tujuh hari sehingga Khamis ini.

“Rokok putih berjumlah 22,500 karton bernilai RM360,000 dan jumlah cukai rokok sebanyak RM3 juta, manakala bagi arak yang dirampas dianggarkan berjumlah 1,224 karton bernilai RM70,500 serta nilai cukai RM229,206.

“Sindiket dipercayai membawa masuk kontena dari negara jiran dengan membuat ikrar palsu pada manifest,” katanya.

Zulkurnain berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 (Akta 253) iaitu mengimport tanpa permit yang sah.

“JKDM meminta orang ramai memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan barangan seperti rokok, minuman keras, dadah dan mercun dengan menghubungi talian bebas tol kastam 1-800-88-8855.

“Kastam memberi jaminan identiti setiap pemberi maklumat dirahsiakan,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2019/09/605587/kastam-tumpas-sindiket-rokok-arak-rm37-juta