KUALA LUMPUR: Seorang ejen perkapalan ditahan selepas disyaki terbabit dengan sindiket penyeludupan minuman keras yang dianggarkan bernilai RM1,82 termasuk nilai cukai, hasil serbuan Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, kelmarin.
Ejen perkapalan berusia 55 tahun itu dipercayai bekerjasama dengan sindiket penyeludupan dengan membuat ikrar palsu dengan membawa masuk minuman keras pada barang dagangan perkakasan pembinaan rumah.
Penolong Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Zulkurnain Mohamed Yusuf, berkata kegiatan itu terbongkar selepas pihaknya menerima maklumat awam sebelum melakukan pemeriksaan terhadap dua kontena berukuran 12.1 meter.
“Hasil pemeriksaan yang dilakukan di Lapangan Pemeriksaan Kontena Penguatkuasaan, Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, pihak kami mendapati barang dagangan yang dimuatkan dalam kontena itu adalah minuman keras yang belum lulus Kastam.
“Kuantiti minuman dirampas dianggarkan berjumlah 60,000 liter membabitkan nilai yang dianggarkan RM188,760 dan jumlah cukai RM1,631,916,” katanya pada sidang media di Kompleks JKDM Kelana Jaya, hari ini.
Zulkurnain berkata, kesalahan itu dikesan selepas mereka merekodkan barang dagangan perkakasan pembinaan rumah pada Borang Kastam 1 (Import).
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(g)(v) Akta Kastam 1967 (Akta 235).
“Jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(v)(aa) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih tinggi, atau penjara tidak kurang enam bulan atau tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Zulkurnain berkata, sebanyak 475 premis dipercayai terbabit dalam penjualan minuman keras dan rokok seludup diserbu sejak Januari hingga hari ini.
Katanya, serbuan membabitkan kawasan sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu berjaya membawa kepada rampasan bernilai RM10 juta dengan nilai cukai RM60.5 juta.
“Seramai 126 individu juga sudah didakwa kerana terbabit dalam aktiviti itu dan 67 kes berjaya diselesaikan dan 71 kes lagi masih dalam perbicaraan.
“Kesemua individu terbabit didakwa di bawah Akta Kastam 1967,” katanya.
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.