MIRI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) merampas 308,000 batang rokok dengan nilai duti RM225,523 yang disorok dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha, berkata anggota penguat kuasa menyerbu sebuah kediaman di Bandar Baru Permyjaya dan menemui pelbagai jenis jenama rokok dipercayai belum diluluskan Kastam.

Katanya, kediaman berkenaan diserbu pada jam 9 pagi Khamis lalu, hasil risikan dan maklumat daripada orang awam.

“Kediaman berkenaan disyaki menjadi lokasi penyimpanan rokok seludup pelbagai jenama. Nilai rampasan membabitkan RM27,160 dengan anggaran jumlah duti terbabit bernilai RM225,523.

“Rokok terbabit disimpan dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda yang diletakkan di ruang parkir hadapan kediaman ini, dipercayai untuk pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Sharifah Halimah berkata, seorang suspek berjaya meloloskan diri selepas menyedari kehadiran anggota penguat kuasa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967 yang jika sabit kesalahan, pesalah akan di denda tidak kurang daripada 10 kali ganda jumlah duti kastam atau RM100,000, mengikut mana-mana jumlah lebih besar,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang awam menyalurkan maklumat berkaitan penyeludupan barang larangan seperti rokok, minuman keras, mercun dan dadah.

“Orang awam boleh menghubungi talian percuma Kastam 1-800-88-8855 atau talian terus Ibu Pejabat Kastam Sarawak 082-472133 atau mana-mana Pejabat Kastam yang berhampiran,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2019/05/560127/kastam-rampas-308000-batang-rokok