JOHOR BAHRU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor menggagalkan cubaan menyeludup minuman keras, mercun dan rokok bernilai RM2.14 juta dalam beberapa siri serbuan pada minggu pertama bulan ini.
Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamiddan Maryani, berkata rampasan dibuat menerusi tiga serbuan berasingan iaitu masing-masing satu di Johor Bahru dan dua lagi di Kulai.
Katanya, dalam serbuan pertama kira-kira jam 2.45 petang, Jumaat lalu di sebuah premis kediaman di Taman Bukit Indah di sini, pasukannya merampas 5,735 liter minuman keras dan 383,600 batang rokok putih.
“Pasukan serbuan turut menemui sejumlah 704 kilogram mercun dan kesemua barangan tidak berkastam ini bernilai RM79,719 dengan cukai terbabit sebanyak RM461,917.
“Tiga lelaki warga tempatan masing-masing berusia 26 hingga 39 tahun dipercayai ada kaitan dengan kes sudah ditahan selain barang kes disita,” katanya pada sidang media di Menara Kastam Johor di sini, hari ini
Mohammad Hamiddan berkata, dalam serbuan kedua pada jam 6.40 pagi semalam, anggotanya menahan sebuah lori di Jalan Susur 1, Kampung Sri Paya di Kulai dan merampas sejuta batang rokok putih pelbagai jenama.
“Semua rokok dirampas bernilai RM80,000 membabitkan cukai sebanyak RM668,000, manakala seorang lelaki warga tempatan berusia 52 tahun dipercayai ada kaitan dengan kes berkenaan ditahan.
“Pada hari sama (semalam), jam 6.30 petang pasukan serbuan menahan sebuah lori yang diletakkan di tepi Jalan Sri Putri 3/1, Kulai dan hasil pemeriksaan menemui 1.14 juta batang rokok bernilai RM91,200 membabitkan nilai cukai sebanyak RM761,520,” katanya.
Katanya, bagi serbuan pertama kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 34(1) Akta Eksais 1976.
“Bagi serbuan kedua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967, manakala serbuan ketiga mengikut Seksyen 135(1)(d) akta sama.
“Sabit kesalahan bagi ketiga-tiga kes boleh dikenakan denda sehingga 20 kali ganda nilai barangan atau RM500,000 yang mana lebih tinggi atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Mohammad Hamiddan berkata, tangkapan ini adalah yang terbesar untuk JKDM Johor bagi tahun ini yang dijalankan dalam tempoh seminggu.
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.