MIRI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 44,492 batang rokok pelbagai jenama dengan anggaran cukai kastam RM32,665.56 di Bandar Baru Permyjaya, di sini, kelmarin.

Pengarah JKDM Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha, berkata rokok bernilai RM4,166.24 yang belum lulus kastam itu dirampas dalam serbuan kira-kira jam 3.30 petang.

“Ketika serbuan, dua individu turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda jumlah cukai kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana jumlah lebih besar.

Selain itu, boleh didenda tidak lebih 20 kali ganda jumlah cukai kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana jumlah lebih besar atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengulas lanjut, Sharifah Halimah berkata, pihaknya akan terus melakukan serbuan dari semasa ke semasa dalam usaha membanteras kegiatan penyeludupan.

Beliau berkata, orang awam boleh menyalurkan maklumat mengenai sebarang kegiatan penyeludupan barangan larangan seperti rokok, minuman keras, mercun dan dadah, dengan menghubungi talian bebas tol kastam 1-800-88-8855 atau pejabat JKDM Sarawak melalui talian 082-472133.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2019/05/559415/44492-batang-rokok-seludup-dirampas