SEPANG – Cubaan dua lelaki warganegara India menyeludup dadah seberat 14.34 kilogram (kg) bernilai RM717,000 berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) apabila mereka ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), minggu lalu.

Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Tengah, Datuk Zulkurnain Mohamed Yusuf berkata, suspek pertama berumur 30 tahun yang menaiki penerbangan AirAsia AK68 dari Hyderabad, India itu ditahan pada pukul 7.55 pagi, Rabu lalu.

“Hasil imbasan dan pemeriksaan terhadap sebuah kotak berisi pengisar dibawa suspek menemukan satu bungkusan plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu yang disorokkan dalam ruang khas dibawah kotak tersebut.

“Bungkusan seberat 6.6 kg itu dianggarkan bernilai RM330,000,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menggunakan modus operandi sama, Zulkurnain berkata, suspek kedua berumur 30 tahun yang menaiki pesawat IndiGO 6E1813 dari Bengaluru, India pula ditahan pada pukul 1.30 pagi, Khamis lalu di KLIA2 ketika melalui mesin pengimbas.

Katanya, pemeriksaan ke atas dua kotak yang dibawa lelaki itu menemukan 15 bungkusan plastik lutsinar mengandungi serbuk putih juga disyaki syabu yang disorok dalam tiga unit kotak simpanan yang diubah suai.

“Kesemua dadah yang disorokkan itu seberat 7.74 kg dan dianggarkan bernilai RM387,000.

“Kedua-dua suspek yang bekerja sebagai jurujual kini direman selama tujuh hari dan disiasat di bawah Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Rujukan: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/kastam-patahkan-cubaan-seludup-dadah-bernilai-rm717-000-1.924667