SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 5,255 ekor anak kura-kura yang cuba diseludup dianggarkan bernilai RM52,550, sekali gus rampasan terbesar setakat ini.
Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Tengah, Datuk Zulkurnain Mohamed Yusuf, berkata pada 20 Jun lalu sepasukan pegawai kastam dari Cawangan Pemeriksaan Penumpang Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) memeriksa dua lelaki warga India yang tiba dari Guangzhou, China.
Katanya, pemeriksaan pertama ke atas lelaki berusia 30 tahun itu mendapati 2,620 ekor anak kura-kura jenis Red Ear Slider diisi dalam 16 bakul kecil diletakkan dalam bagasinya.
“Pemeriksaan ke atas lelaki kedua berusia 42 tahun pula mendapati dalam bagasinya mengandungi 2,620 ekor anak kura-kura jenis Red Ear Slider yang diisi dalam 16 bakul kecil.
“Jumlah semua anak kura-kura dalam dua bagasi berkenaan sebanyak 5,255 dianggarkan bernilai RM52,550, sekali gus menjadikan rampasan pertama dan terbesar tahun ini. Kali terakhir kes seperti ini berlaku sekitar dua tahun lalu,” katanya pada sidang media di Kompleks Kargo Kastam, di sini, hari ini.
Zulkurnain berkata, anak kura-kura itu dibawa dalam keadaan masih hidup dan diletak dalam bagasi berkenaan tanpa makanan dan minuman.
“Kita dapati kedua-dua suspek menjadikan Malaysia sebagai transit dan bukan ingin memasarkan haiwan berkenaan di sini.
“Mereka mengambil anak kura-kura itu di China sebelum dipasarkan ke India untuk diternak. Ada anak kura-kura yang sudah mati dan banyak yang masih hidup.
“Bagi anak kura-kura yang hidup, kita akan hantar ke Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Zulkurnain berkata, kedua-dua suspek kini direman di Mahkamah Majistret Sepang selama 14 hari untuk siasatan lanjut sebelum dituduh dalam masa terdekat.
“Perbuatan mengimport kura-kura tanpa lesen import adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.
“Jika disabitkan, bagi kesalahan pertama boleh didenda tidak kurang sepuluh kali ganda nilai barangan atau RM50,000 yang mana lebih tinggi atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua duanya sekali.
“Pengimportan kura-kura memerlukan lesen import dikeluarkan Ketua Pengarah PERHILITAN,” katanya.
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2019/06/578269/5255-anak-kura-kura-dirampas
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.