MOHAMMAD Hamidan (dua dari kiri) menunjukkan gambar mata wang
JOHOR BAHRU – Kastam Johor berjaya mematahkan cubaan seorang lelaki membawa masuk wang tunai RM207,000 tanpa pengikraran selepas ditahan di Terminal Penumpang Feri Bandar Maharani Bandar Diraja, Muar, pada 14 Jun lalu.

Dalam kejadian itu seorang lelaki warganegara Indonesia berusia 29 tahun diberkas bersama-sama bagasi ketika cuba melepasi mesin pengimbas.

Pengarah Kastam Johor, Datuk Mohammad Hamidan Maryani berkata, imej mesin pengimbas ke atas bagasi tersebut menunjukkan keraguan sebelum siasatan dilakukan.

“Hasil pemeriksaan rapi ke atas bagasi tersebut menjumpai wang tunai RM207,000 disyaki melanggar Akta Kastam 1967.

“Siasatan ke atas suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah selain memberi tahu dia membawa masuk wang tersebut secara bulanan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Menara Kastam Johor Bahru, Larkin di sini sebentar tadi.

Mohammad Hamidan berkata, suspek ditahan reman 14 hari bermula 15 hingga 28 Jun ini untuk siasatan lanjut.

Terdahulu, dalam kejadian berasingan, JKDM Johor pada 18 Jun lalu berjaya mematahkan cubaan membawa keluar pelbagai mata wang asing termasuk RM6.36 juta di Plaza Kenderaan Ringan, Kompleks Sultan Abu Bakar, Gelang Patah, dekat sini.

Kejayaan itu hasil adalah risikan Cawangan Penguatkuasaan JKDM Gelang Patah dan menahan sebuah kereta Honda Accord yang dinaiki dua lelaki berusia 25 dan 26 tahun menghala ke Singapura.

Kedua-dua suspek bagaimanapun telah didakwa di Mahkamah Johor Bahru semalam. – UTUSAN ONLINE

Rujukan: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/cubaan-seludup-wang-tunai-rm207-000-gagal-1.924662