JOHOR BAHRU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) tidak pernah melakukan sebarang transaksi pungutan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) secara terus menerusi pegawai atau panggilan telefon.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri T Subromaniam, berkata JKDM hanya menjalankan urusan pungutan GST menerusi kaunter atau secara dalam talian sahaja.
Beliau berkata, baru-baru ini juga pihaknya menahan seorang lelaki di sekitar Johor Bahru, membabitkan kegiatan penyamaran sebagai pegawai JKDM.
“Orang awam mempunyai hak meminta mana-mana anggota atau pegawai menunjukkan kad pengenalan (ID) atau kad kuasa yang dibekalkan kepada setiap kakitangan JKDM.
“Kita ada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan saya harap orang awam tidak tertipu dan dapat bekerjasama dengan JKDM, selain tidak membuat sebarang bayaran jika berurusan secara terus atau menerusi telefon,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bukit Serampang Indah bersama Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi MIC Johor, Datuk M Asojan.
Subromaniam berkata, pihaknya sentiasa membuat pemantauan dan bertindak sekiranya mendapat laporan berhubung kes penyamaran membabitkan anggota atau pegawai JKDM.
Dalam perkembangan lain, Jazlan berkata, pembinaan SJKT Bukit Serampang Indah, menjadi bukti kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah meminggirkan masyarakat India terutama dalam aspek ekonomi, pendidikan dan kebajikan mereka.
“Semua aspek agama, ekonomi dan pendidikan kaum India terutama dalam kawasan Parlimen Pulai sudah dibantu kerajaan dan ia menunjukkan kerajaan prihatin terhadap kepelbagaian bangsa di negara ini,” katanya.
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.