KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) Kelantan merampas 5,400 karton rokok jenama Saat bernilai RM486,000 termasuk cukai dalam serbuan terhadap sebuah lori di Setiu, Terengganu, semalam.

Dalam operasi Khas Bersepadu pada jam 3.40 pagi, sepasukan anggota Kastam melakukan serbuan terhadap lori jenis Isuzu dan turut menahan seorang lelaki berusia 47 tahun yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kelantan.

Pengarah Kastam Kelantan, Datuk Nasir Yusoff, berkata sebelum serbuan, pasukannya mengejar lori terbabit hasil maklumat awam, sebelum dapat ditahan di hadapan Sekolah Kebangsaan Batu 29, Jalan Kota Bharu-Terengganu.

“Selepas melakukan pemeriksaan ke atas muatan lori terbabit, terdapat rokok seberat 1,620 kilogram (kg) disembunyikan di sebalik barang-barang lain seperti tayar dan timbunan bekas polestrin bagi mengaburi mata Pegawai Kastam.

“Pemandu terbabit kemudian dibawa ke Pejabat Penguatkuasaan Cawangan Kota Bharu untuk siasatan lanjut. Selain rokok, lori bernilai RM50,000 itu turut dirampas.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 yang boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda jumlah nilai barangan dan tidak melebihi 20 kali ganda jumlah nilai barangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam kes berasingan pada 8 Januari lalu, Kastam turut merampas sebanyak 8,410 karton rokok bernilai RM707,000 termasuk cukai dalam serbuan terhadap sebuah lori di Gua Musang.

Bagaimanapun, Nasir berkata, pemandu serta kelindan lori terbabit yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke negeri ini melarikan diri.

“Kita dapati, kedua-dua kes terbabit menggunakan modus operandi sama dengan menyembunyikan rokok di sebalik barang lain bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/01/375390/sembunyi-rokok-dalam-timbunan-tayar