SEPANG: Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (Kastam) berjaya mematahkan dua kes penyeludupan dadah dan satu cubaan menyeludup mata wang asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri T Subromaniam, berkata dalam kes pertama, Kastam menahan dua wanita adik beradik berbangsa India berumur dalam lingkungan 30 hingga 31 tahun yang tiba melalui penerbangan AirAsia dari Chennai, India kerana disyaki cuba menyeludup dadah, pada 4 Januari lalu.
Hasil pemeriksaan ke atas dua bagasi menjumpai 10.50 kilogram (kg) serbuk putih disyaki dadah jenis Metamphetamine yang disorokkan di dalam bekas bedak, dianggarkan bernilai RM735,000.
“Hasil siasatan mendapati kakak kepada pasang adik beradik ini pernah datang ke Malaysia beberapa kali manakala adiknya pertama kali memasuki negara ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Kastam KLIA, Abdul Wahabi Abdullah dan Timbalan Pengarah, Bahagian Penguatkuasaan dan Pematuhan Kastam, Abu Kasim Ahmad.
Subromaniam berkata, kes penyeludupan dadah kedua dipatahkan pada 11 Januari lalu, apabila Kastam menahan seorang lelaki India berumur dalam lingkungan 32 tahun yang tiba dari Thiruchirapalli, India melalui penerbangan Malindo Air.
Katanya, imbasan kotak yang dibawa suspek mengesan serbuk putih seberat 5.20 kg disyaki dadah jenis Metamphetamine dianggarkan bernilai RM364,000, disorokkan dalam alat dapur memasak.
Beliau berkata, Kastam juga mengagalkan cubaan menyeludup mata wang Taiwan oleh dua suspek lelaki warganegara Nigeria, berumur sekitar 29 hingga 30 tahun, berjumlah RM136,502.94 yang disembunyikan di dalam anak patung.
“Kedua-dua suspek didapati tiada dokumen ikrar terhadap mata wang dan Instrument Boleh Niaga Pembawa serta boleh disabitkan dengan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
“Tiga susupek dadah disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika bersabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati,” katanya.
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/01/377716/kastam-tahan-3-keldai-dadah
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.