KUALA LUMPUR 6 Feb. – Nilai duti kastam yang tidak dibayar sepanjang tahun lalu dianggarkan mencecah lebih RM1 bilion menerusi barang-barang larangan yang telah diseludup masuk ke negara ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri T. Subromaniam berkata, barang seludup seperti rokok sahaja bernilai RM1 bilion dan ini belum termasuk komoditi-komoditi lain.

 “Setakat ini mereka menggunakan dua taktik iaitu memanipulasi dokumen dengan membuat ikrar palsu dan penyeludupan secara terus melalui perairan atau pelabuhan dan semua ini melibatkan ejen kastam.

“Jadi apabila disiasat, alamat penghantaran tidak wujud. Kalau tidak tahu alamat bagaimana mereka nak membuat urusan dagangan? Sebab itu tindakan lebih tegas diambil dengan menggantung lesen ejen yang terlibat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tentang 31 lesen syarikat ejen kastam yang digantung bulan ini kerana didapati terlibat dalam penyeludupan atau kerap melakukan ke­salahan berat.

Tambahnya, pihak JKDM akan terus memastikan penyeludupan di semua pintu sempadan negara ditangani segera melalui kerjasama pelbagai agensi terbabit.

“Ini termasuk kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Pasukan Polis Marin (PPM) bagi membanteras penyeludupan supaya pengimport dapat didakwa di mahkamah dan menggantung lesen ejen yang bersubahat,” katanya.

Rujukan: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/rm1-bilion-duti-kastam-tidak-dibayar-1.604307