KUCHING: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyasarkan kutipan cukai keseluruhan negara pada tahun ini mampu mencapau RM60.96 bilion, iaitu peningkatan empat peratus berbanding RM58.82 bilion pada tahun sebelumnya.
Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Subromanian Tholasy berkata, pada tahun lalu, jabatannya mengutip RM44.03 bilion menerusi cukai barang dan perkhidmatan (GST) iaitu sebanyak 75 peratus daripada kutipan keseluruhan negara.
“JKDM menyasarkan peningkatan empat peratus kutipan cukai keseluruhan pada tahun ini dan ia mampu dicapai menerusi mengekang habis-habisan penyeludupan barang yang tidak dicukai, terutama membabitkan rokok, minuman keras dan bunga api. “Tahun lalu, ketiga-tiga barang berkenaan merekodkan peningkatan penyeludupan yang sangat signifikan membabitkan 267 peratus berbanding pada 2016,” katanya dalam sidang media ketika menghadiri Mesyuarat Pengarah Kastam Ke-83, di sini, semalam.
Program berkenaan dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg.
Subromaniam ketika mengulas lanjut, berkata pada 2017, sejumlah RM20 juta barang seludup membabitkan rokok, minuman keras dan bunga api dirampas dengan nilai cukai berjaya diselamatkan berjumlah RM53 juta.
Sementara itu, beliau mendedahkan, sebanyak 31 syarikat penghantaran sudah digantung perkhidmatan mereka di seluruh negara, termasuk tujuh syarikat beroperasi di Sarawak kerana bersubahat menyeludup barang terlarang sehingga April lalu.
“Keputusan penggantungan dibuat selepas mengambil kira penyeludupan barang membabitkan barang memerlukan permit, barang haram atau mempunyai tarif cukai tinggi, sekali gus menjamin negara tidak kehilangan pendapatan selain memastikan keselamatan negara berada pada tahap tinggi,” katanya.
Subromaniam berkata, tindakan penggantungan terbabit dilaksanakan demi menjamin syarikat penghantaran mengambil tanggungjawab penuh menyelidik latar belakang pelanggan dan barang muatan ketika menggunakan khidmat penghantaran syarikat masing-masing.
“Kamu (syarikat penghantaran) wajib mengetahui siapa pelanggan yang berurusan dengan anda dan apa jenis barang yang ingin dihantar keluar.
“Jangan maklumkan kepada kami (kastam) yang kamu hanya isytihar barang dalam borang pengisytiharaan berdasarkan apa diberitahu pelanggan semata-mata.
“Jadilah bertanggungjawab dan mengambil sikap memperincikan semua makkumat, atau berdepan tindakan penguatkuasaan. Kami tidak akan berkompromi lagi,” katanya.
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.