PELABUHAN KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggempur 220 premis menjual arak di sekitar Lembah Klang susulan kes keracunan alkohol yang mengorbankan puluhan nyawa, baru-baru ini.

Serbuan dalam operasi khas itu dijalankan secara berasingan sejak kes pertama dilaporkan pada 17 September lalu.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri T Subromaniam berkata, hasil serbuan membawa kepada rampasan lebih 4,000 liter minuman keras di premis terbabit.

“Dalam 220 serbuan itu, kita turut menahan 34 individu termasuk tiga wanita bagi membantu siasatan.

“Jenama arak yang dirampas antaranya Grand Royal Whiskey, King Fisher Beer, Carlsberg, Cap Kapak, Mandalay Whiskey dan Club 99,” katanya pada sidang media di Wisma Kastam di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor.

Subromaniam berkata pihaknya turut menumpaskan satu sindiket pemprosesan arak tiruan di sebuah rumah di Taman Klang Utama, Klang, kelmarin.

“Hasil siasatan mendapati premis itu adalah tempat memproses arak tiruan pelbagai jenama dan beberapa tong dipercayai mengandungi ‘methanol’ dan perisa ‘brandy’ turut dijumpai.

“Kuantiti arak yang dirampas dianggarkan berjumlah 1,966 liter membabitkan nilai sebanyak RM105,800. Seorang rakyat tempatan berusia 63 tahun iaitu pemilik turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, sindiket itu menjadikan kawasan perumahan awam sebagai lokasi memproses arak tiruan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Arak tiruan pelbagai jenama itu dipercayai dijual di pasaran tempatan dengan mensasarkan warga asing dan harganya jauh lebih murah berbanding harga pasaran.

“Siasatan masih diteruskan untuk melihat sama ada ia mempunyai kaitan dengan kes kematian akibat keracunan methanol,” katanya.

Menurut beliau, kes disiasat antaranya mengikut Seksyen 74 Akta Eksais (Akta 176) 1976 iaitu mengelak duti eksais dan pengilangan haram.

“Selain itu, ia disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Membaharui Undang-Undang (Penghapusan Samsu Gelap) 1976 (Akta 165) iaitu menyimpan, menggunakan atau membenarkan premis digunakan sebagai tempat memproses samsu haram.

“Ia turut merangkumi Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1976 iaitu menyimpan bir belum lulus kastam, ” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/09/479176/kastam-serbu-220-premis-arak-di-lembah-klang