ALOR SETAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas minuman keras dan daging lembu sejuk beku bernilai RM1.5 juta di kawasan Pelabuhan Barat di Pelabuhan Klang, Selangor.
Lori terbabit ditahan jam 3 petang Isnin lalu kira-kira 20 meter dari pelabuhan berkenaan selepas pemandu hanya mengikrarkan muatan yang dibawa dalam kontena itu adalah daging lembu sejuk beku seberat 14.4 tan menggunakan pas laluan.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Seri Zulkifli Yahya, berkata dengan menggunakan pas laluan itu, suspek berjaya keluar dari kawasan kawalan kastam tanpa membayar cukai.
“Ini adalah satu kesalahan yang serius membabitkan lori kontena cuba elak dari pemeriksaan kastam serta pembayaran cukai terhadap kargo yang dibawa.
“Menerusi ‘Ops Gempur’ yang sedang dijalankan oleh kami, sepasukan anggota Penguatkuasaan Kastam dari Cawangan Alor Setar, Kedah diarahkan untuk mengekori lori kontena berkenaan sebaik dia keluar dari pelabuhan itu.
“Anggota kastam yang mengekori lori kontena itu bagaimanapun tidak menyedari bahawa mereka turut diperhatikan oleh ‘tonto’ yang dipercayai ‘mengawal’ perjalanan lori kontena itu.
“Lori kontena yang diekori anggota kastam itu kemudian berhenti di satu kawasan di Taman Perindustrian Pandamaran yang terletak 20 kilometer dari kawasan Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang sebelum pemandu lori yang menyedari dirinya diekori melarikan diri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di ibu pejabat JKDM Kedah, di sini, hari ini.
Zulkifli berkata, pemeriksaan selanjutnya menemui sejumlah daging lembu sejuk beku dan minuman keras berjenama Scarletts Gold Premium yang tersimpan dalam kontena berkenaan.
“Pemeriksaan anggota kita berjaya merampas sebanyak 13,152 botol minuman keras membabitkan anggaran nilai sebanyak RM1.48 juta dan daging lembu sejuk beku sebanyak 273 kotak seberat 5,106 kilogram yang bernilai RM72,840.
“Bekalan minuman keras ini dipercayai dibawa dari India manakala bekalan daging lembu sejuk beku itu pula dari Brazil,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga berjaya menahan seorang lelaki berusia 38 tahun dipercayai ‘tonto’ yang mengawasi kargo lori kontena itu di kawasan berkenaan.
“Siasatan awal mendapati pihak sindiket sengaja meletakkan kotak daging lembu sejuk beku itu di bahagian hadapan pintu kontena manakala minuman keras pula diletakkan di bahagian belakang kontena itu.
“Pemandu lori kontena itu pula sengaja mendakwa muatan yang dibawa adalah sebanyak 14.4 tan supaya ia nampak seperti menepati kandungan muatan kontena berkenaan,” katanya.
Katanya, keseluruhan rampasan adalah bernilai RM1.5 juta dengan anggaran cukai yang terbabit pula adalah sebanyak RM893,071.20.
Suspek direman sehingga esok untuk membantu siasatan.
“Rampasan berkenaan adalah yang terbesar dicatatkan oleh JKDM Kedah tahun ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” katanya.
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/10/481750/arak-daging-sejuk-beku-rm15-juta-dirampas
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.