BUKIT KAYU HITAM: Seorang lelaki ditahan selepas cuba menyeludup masuk 200 ketulan mampat ganja dianggar bernilai RM396,900 dari negara jiran.

Suspek, 22, ditahan selepas semua ganja terbabit ditemui di dalam bonet kereta dipandunya ketika cuba melepasi pemeriksaan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) di sini, kira-kira jam 8.40 pagi, kelmarin.

Pengarah Kastam Kedah, Datuk Johari Alifiah, berkata ketika ditahan suspek baharu sahaja memasuki negara dengan memandu kereta jenis PROTON Preve.

“Ketika diperiksa, anggota kastam bertugas curiga dengan keadaan bonet kereta terbabit yang dipenuhi alat pembesar suara, sebelum mengarahkan suspek membuka bahagian kerusi belakang untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasilnya kita menemui beberapa ketulan mampat berbalut plastik lutsinar yang disyaki ganja, sebelum penemuan itu dimaklumkan kepada Cawangan Penguatkuasaan Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Johari berkata, suspek dipercayai dalam perjalanan pulang dari negara jiran dan ganja itu disyaki dibawa masuk ke negara ini untuk dijual di pasaran tempatan.

Beliau berkata, modus operandi digunakan suspek ialah dengan menyorok ganja berkenaan di dalam alat pembesar suara untuk mengelak ditahan dan pihaknya masih menjalankan siasatan sama ada suspek sudah lama menjalankan kegiatan itu atau sebaliknya.

“Kita akan menjalankan pemeriksaan dokumen perjalanannya ke negara jiran dan ini adalah kes kedua terbesar membabitkan dadah yang diperoleh pihak kami untuk tahun ini.

“Setiap satu ketulan ganja itu seberat hampir satu kilogram dan mampu dijual sekitar RM2,000,” katanya.

Beliau berkata, suspek yang bekerja sendiri itu ditahan reman 14 hari bermula semalam untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika sabit kesalahan suspek boleh dihukum gantung mati mandatori.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2017/08/311128/lelaki-cuba-seludup-200-ketulan-ganja-dicekup