Kastam NS patah cubaan seludup rokok bernilai RM7 juta

SEREMBAN 18 Julai – Jabatan Kastam Diraja Malaysia Negeri Sembilan berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok ke negara ini dengan merampas sebanyak 8.9 juta batang rokok dalam serbuan di jeti persendirian dekat Port Dickson di Telok Kemang pada Selasa lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Zulkifli Yahya berkata, serbuan itu dilakukan sepasukan anggota JKDM pada kira-kira pukul 12.30 tengah malam hasil daripada maklumat risikan yang dijalankan oleh jabatan berkenaan.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, seramai 16 suspek termasuk sembilan warga asing telah ditahan ketika sedang memunggah rokok jenama `SAAT’ dari kapal ke sebuah lori.

“Rokok itu dimuatkan dalam sebuah kapal seberat 152,407 kilogram yang berlepas dari Jurong, Singapura dan sepatutnya menuju ke Medan, Indonesia tetapi didapati melencong ke jeti persendirian berkenaan.

“Pasukan serbuan kemudiannya telah bertindak menyita kesemua barang-barang tersebut kerana disyaki diimport tanpa melalui prosedur pengimportan sah yang boleh didakwa di bawah Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Bahagian Penguatkuasa Kastam negeri di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pengarah JKDM negeri, Datuk Abdullah Jaapar.

Zulkifli memberitahu, nilai dan cukai untuk rokok yang dirampas itu berjumlah RM7 juta.

Tambahnya, kesemua 16 orang suspek telah didakwa di Mahkamah Majistret Port Dickson semalam. – UTUSAN ONLINE

Sumber: http://m.utusan.com.my/berita/jenayah/video-kastam-ns-patah-cubaan-seludup-rokok-bernilai-rm7-juta-1.504318

By | July 23rd, 2017|0 Comments

Leave A Comment