Garis panduan lebih jelas

PUTRAJAYA 21 Julai – Agensi penguat kuasa di negara ini kini mempunyai garis panduan yang lebih jelas berhubung penggunaan senjata api bertujuan melindungi keselamatan pegawai bertugas ketika berhadapan dengan situasi membahayakan.

Garis panduan yang baharu dilancarkan itu antara lain menjelaskan bila dan dalam situasi bagaimana senjata api boleh digunakan de­ngan memberi pertimbangan utama bahawa nyawa mereka berada da­lam keadaan terancam.

Garis Panduan Penggunaan Senjata Api Oleh Pegawai Penguat Kuasa (Semasa Menjalankan Tugas) 2017 itu yang dilancarkan hari ini disaran diguna pakai serta-merta.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, garis panduan baharu itu lebih inovatif bagi mengemas kini prosedur operasi standard (SOP) sedia ada yang sebelum ini hanya tertumpu kepada cara penyimpanan senjata api secara selamat.

“Tatacara sedia ada tidak menjelaskan bila dan dalam keadaan bagaimana senjata api boleh digunakan oleh pegawai penguat kuasa ketika bertugas,’’ ujarnya kepada pemberita se­lepas majlis pelancaran garis panduan tersebut di Jabatan Peguam Negara (AGC) di sini.

Mohamed Apandi kemudian menyerahkan buku garis panduan tersebut yang diklasifikasikan sebagai dokumen terperingkat (terhad) kepada beberapa pegawai ter­tinggi kerajaan yang mewakili agensi penguat kuasa masing-masing.

Turut diadakan majlis pelancaran ‘AGC Ke Arah Pensijilan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) 2017’ dan ulang tahun ke­dua beliau sebagai Peguam Negara serta jamuan hari raya jabatan itu.

Mohamed Apandi menjelaskan, garis panduan tersebut turut memberi panduan kepada pegawai penguat kuasa sama ada amaran patut diberikan terlebih dahulu sebelum tembakan dilepaskan.

Ketika ditanya sama ada pematuhannya diwajibkan terhadap pa­­sukan penguat kuasa, beliau berkata, lebih baik garis panduan itu diikuti kerana mereka boleh didakwa di mahkamah jika melepaskan tembakan tanpa pertimbangan.

“Jika mereka mempunyai lesen sekali pun, tembakan tidak boleh dilepaskan sewenang-wenangnya dan mesti mengikut undang-undang,’’ ujarnya.

Dalam ucapannya, Mohamed Apandi berkata, idea penyediaan garis panduan itu tercetus berikutan insiden kematian seorang pegawai kastam, Anisah Ali pada 9 Oktober tahun lalu selepas kenderaan pasukan penguat kuasa yang dinaikinya dirempuh oleh sebuah pacuan empat roda dipercayai dinaiki tonto di Banggol Cicha, Pasir Mas, Kelantan.

Ujar beliau, pihaknya menye­dari kejadian itu berlaku ekoran kurangnya pendedahan dan pengetahuan mengenai prosedur penggunaan senjata api ketika berhadapan dengan situasi membahayakan.

Menurut beliau, pihaknya me­ngambil berat insiden berkenaan dan terpanggil untuk menyemak tatacara sedia ada dan mendapatinya tidak mengandungi garis panduan penggunaan senjata api.

Sehubungan itu, pada Disember tahun lalu, beliau mengarahkan Bahagian Pendakwaan AGC menubuhkan pasukan khas bagi mengkaji semula tatacara penggunaan senjata api yang diguna pakai oleh semua agensi penguat kuasa.

Ketika ditanya sama ada garis panduan tersebut diwujudkan ba­gi mengelak kes seorang remaja berusia 15 tahun, Aminulrasyid Amzah yang mati ditembak oleh anggota polis, tujuh tahun lalu berulang, Mohamed Apandi berkata, garis panduan itu mampu mengelak banyak insiden.

“Kamu fikir mengenai mangsa, saya juga fikir kepentingan mangsa dan pasukan penguat kuasa yang terbunuh ketika menjalankan tugas kerana teragak-agak untuk menggunakan senjata api,’’ ujarnya.

Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/garis-panduan-lebih-jelas-1.505878

By |2017-07-23T21:11:47+08:00July 23rd, 2017|0 Comments

Leave A Comment

Go to Top