BUKIT KAYU HITAM: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api yang cuba diseludup masuk ke negara ini, bernilai lebih RM700,000 termasuk cukai, Ahad lalu. Pengarah Kastam negeri, Johari Alifiah, berkata lori kontena menggunakan nombor pendaftaran Thailand itu ditahan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) selepas cuba melepasi pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), di sini kira-kira jam 8.30 malam.

“Hasil pemeriksaan, kita menemui 39,333 kotak mengandungi pelbagai jenis mercun dan bunga api, dengan anggaran berat keseluruhan 23,978.8 kilogram (kg). “Kita percaya bekalan mercun dan bunga api terbabit dibawa masuk khusus untuk permintaan musim perayaan. “Berdasarkan stok dimiliki, kita yakin ia mampu bertahan sehingga sambutan Krismas hujung tahun ini,” katanya pada sidang media di Pejabat Penguatkuasaan Kastam Bukit Kayu Hitam, di sini, sebentar tadi. Johari berkata, selain merampas mercun dan bunga api bernilai RM440,726 dan cukai RM260,028.34, pihaknya turut menahan lelaki warga tempatan berusia 46 tahun bersama lori kontena yang dipandunya.

“Kita percaya lelaki itu diupah untuk membawa barang larangan untuk diedarkan di seluruh negara dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana secara sedar mengangkut barang larangan atau belum lulus kastam.   “Sabit kesalahan, suspek boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda daripada nilai barangan atau maksimum 20 kali ganda nilai barangan atau dipenjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Sumber : http://www.bharian.com.my/node/278911