2 lelaki cuba seludup masuk 28 kilogram methamphethamine di ICQ Padang Besar diberkas

KANGAR 3 Mei – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri mematahkan cubaan dua lelaki untuk menyeludup masuk kira-kira 28 kilogram (kg) methamphetamine bernilai RM1.9 juta melalui Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) di Padang Besar dekat sini semalam.

Kedua-dua lelaki yang merupakan seorang warga tempatan dan seorang lagi rakyat Thailand itu masing-masing berusia 55 tahun.

Mereka berdua ditahan kira-kira pukul 2 petang ketika hendak memasuki negara ini dengan menaiki sebuah kereta Mercedes-Benz bernombor pendaftaran tempatan.

 Menurut Pengarah Kastam negeri, Datuk Kamarudin Jaafar, hasil pemeriksaan di dalam kenderaan dinaiki kedua-duanya menjumpai sebanyak 28 bungkusan teh jenama Cina.

“Hasil pemeriksaan setiap bungkusan itu mengandungi mampatan kristal seberat satu kilogram.

“Ujian terhadap kristal itu menggunakan sejenis alat dikenali sebagai Trunarc mendapati ia adalah methamphethamine,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB 1952) yang membawa hukuman mati mandatori. – UTUSAN ONLINE

Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/2-lelaki-cuba-seludup-masuk-28-kilogram-methamphethamine-di-icq-padang-besar-diberkas-1.477213

By | May 4th, 2017|0 Comments

Leave A Comment