JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, berjaya mematahkan cubaan menyeludup 330 kura-kura pelbagai jenis bernilai RM1.2 juta, petang semalam.

Timbalan Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) KLIA Abdull Wahid Sulong berkata, pemeriksaan dilakukan pasukan Bahagian Penguatkuasaan di Gudang Kargo Udara, Zon Perdagangan Bebas, KLIA pada 3 petang, selepas menerima maklumat.

Katanya, pihaknya menemui lima kotak yang disyaki mempunyai barang larangan import.

“Hasil pemeriksaan menemui lima kura-kura jenis Ploughshare dan 325 kura-kura jenis Indian Star sekali gus menjadikannya sebagai kes terbesar dalam tempoh tiga tahun lalu.

“Kotak itu tiba melalui penerbangan Etihad Airways dari Lapangan Terbang Antananarivo, Madagascar ke KLIA,” katanya pada sidang media di Kompleks Kastam Kargo Klia di sini, hari ini.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2017/05/229416/gagal-seludup-kura-kura-rm12-juta