KANGAR: Pihak pengurusan sebuah hotel yang merupakan anak syarikat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) didenda RM50,800 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini bagi kesalahan gagal mengemukakan penyata Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Syarikat Putra Palace Sdn Bhd yang diwakili anggota pentadbirannya mengaku bersalah selepas 10 pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.
Kesalahan itu dilakukan di Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Unit Siasatan GST, Bahagian Penguatkuasaan Kangar, sejak 1 Jan 2015 hingga Jun 2016.
Hakim Azman memerintahkan hukuman penjara tiga bulan bagi setiap pertuduhan jika gagal membayar denda itu. Syarikat membayar denda tersebut.
Sementara itu, tiga Ahli Lembaga Pengurusan PKENPs turut mengaku bersalah terhadap 10 lagi pertuduhan sama yang dilakukan pada tempoh, tempat dan tarikh yang sama.
Hakim Azman memerintahkan Norsiake Kassim yang mengaku bersalah terhadap enam pertuduhan berkenaan didenda RM18,600, sementara Mohd Nazar Ismail dan Hasmadi Ibrahim yang masing-masing mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan didenda RM3,600 setiap seorang.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia Perlis Azmadi Zakaria manakala Putra Palace Sdn Bhd dan tiga ahli lembaga pengurusan PKRNPs diwakili peguam Siti Hajar Abdullah.
— BERNAMA
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.