BANTERAS PENGUAT KUASA RASUAH

SEJAK penghujung tahun lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mula melancarkan operasi penangkapan terhadap penjawat-penjawat awam yang terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa.

Kegembiraan golongan berkenaan yang selama ini begitu gembira dengan hidup mewah hasil daripada perbuatan haram tersebut terencat dengan ketegasan SPRM.

Tiada yang terselamat. SPRM menyerbu dan menahan mereka yang bertanggungjawab untuk disiasat dan dihadapkan ke muka pengadilan. Ramai penjawat awam yang ditahan dan tidak terkecuali beberapa pengurusan kanan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Namun begitu langkah tegas SPRM tidak boleh terhenti di situ sahaja. Seperti mana kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Zulkifli Ahmad, rasuah ibarat anai-anai yang boleh meruntuhkan negara.

Justeru adalah wajar, SPRM mengatur langkah pula untuk membanteras rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan agensi-agensi penguat kuasa. Tumpuan bukan sahaja perlu diberikan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja atau Jabatan Imigresen, sebaliknya semua agensi yang mempunyai anggota penguat kuasa termasuk di kementerian dan jabatan-jabatan.

Dalam soal ini, penulis bukanlah bermaksud kesemua mereka terlibat dalam jenayah tersebut tetapi terdapat segelintir anggota agensi penguat kuasa yang terus hidup mewah dengan menjamah wang haram. Walaupun peringatan sudah diberikan namun masih ada yang belum mahu insaf.

Sikap tamak itulah yang memungkinkan gejala rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan anggota penguat kuasa dilihat semakin serius, seolah-olah tiada sesiapapun mampu menahan kerakusan mereka mengkhianati amanah yang diberikan.

Keadaan itulah yang memungkinkan pelbagai kegiatan haram lain termasuklah sindiket penyeludupan dan judi terus bermaharajalela. Begitu juga penerokaan hutan secara haram yang dikaitkan dengan amalan rasuah oleh segelintir pegawai Jabatan Hutan.

Ia berlaku kerana sindiket tidak takut kepada undang-undang, mereka tidak risau apa-apa kerana segala-galanya sudah diuruskan dengan anggota penguat kuasa yang terlibat. Kesudahannya undang-undang hanya menjadi bahan ketawa kepada sindiket manakala amaran untuk mana-mana pihak membanteras sesuatu kegiatan haram dipandang sinis.

Semua itu berlaku kerana sesetengah-setengah agensi penguat kuasa sudah dijangkiti virus rasuah yang amat teruk. Adalah sesuatu yang memualkan apabila kita masih terus mendengar cerita-cerita bagaimana sindiket begitu mudah merasuah anggota agensi penguat kuasa.

Menggadai maruah

Bercuti di luar negara, menerima bayaran secara bulanan sehinggalah menukar tayar kereta adalah antara ganjaran yang diterima oleh anggota penguat kuasa yang mengamalkan rasuah tersebut. Itu belum lagi mengambil kira bagaimana mereka membeli tanah dan aset-aset serta mempunyai tunai jutaan ringgit dalam akaun termasuk luar negara.

Perbuatan haram itu bukan sahaja berlaku di bandar malah di sempadan negara pun ada cerita yang kita dengar bagaimana rasuah dalam kalangan sesetengah anggota agensi penguat kuasa agak serius.

Justeru sudah tiba masanya SPRM melanjutkan pula serbuan, siasatan dan tangkapan ke atas anggota agensi-agensi penguat kuasa. Burulah mereka yang terlibat dengan perbuatan haram itu habis-habisan. Jangan biarkan seorangpun terlepas. Dalam soal ini, kita yakin SPRM akan berupaya melakukan tindakan tanpa memilih bulu kerana kita tidak mahu tindakan dilihat hanya melibatkan orang bawahan sahaja sedangkan pegawai-pegawai atasan terus bermaharajalela.

Penulis pernah diberitahu oleh satu sumber jumlah rasuah melibatkan anggota penguat kuasa dalam tempoh sebulan bukan lagi sekitar beribu-ribu ringgit tetapi ada antaranya sudah mencapai jutaan ringgit. Hakikatnya tidak kira berapa banyakpun ‘modal’ yang terpaksa dikeluarkan sindiket, ia bukanlah masalah bagi mereka kerana keuntungan mereka perolehi adalah berlipat ganda daripada jumlah ‘menyuap mulut’ anggota agensi penguat kuasa.

Ternyata sekali sindiket jauh lebih bijak daripada segelintir anggota penguat kuasa yang sanggup memperbodohkan diri dan menggadaikan maruah semata-mata mahu hidup mewah.

Atas sebab itulah penulis dalam beberapa artikel sebelum ini sering menekankan bahawa SPRM perlu menjalankan siasatan ke atas pegawai dan anggota agensi penguat kuasa yang hidup mewah di luar kemampuan atau lebih tepat lagi tidak sepadan dengan gaji mereka. Oleh itu SPRM tidak perlu bertangguh lagi. Banteraslah segera penguatkuasa rasuah di semua peringkat. Ini memandangkan perbuatan mereka amat bahaya kepada keselamatan negara.

Sementara mereka hidup mewah, undang-undang pula hanya sekadar berada di bawah tapak kaki sindiket-sindiket. Justeru SPRM perlu bertindak segera untuk memastikan penguat kuasa yang mengamalkan rasuah ini tidak terus menjadi barah dalam organisasi yang mereka sertai.

Perlu diingat rakyat menaruh harapan tinggi kepada anggota agensi penguat kuasa untuk melindungi dan membela nasib mereka. Tidak kira dalam apa perkara sekalipun termasuklah dalam soal barangan bersubsidi.

Tetapi masalah sehingga hari ini, masalah tersebut seolah-olah tidak mampu diselesaikan. Contohnya, dalam kes judi haram mana mungkin ia akan dapat diselesaikan kalau di premis-premis sudah ada ‘lampu warna-warni’ yang menjadi tanda penguat kuasa mana yang melindungi premis berkenaan. Berdasarkan keadaan itu, kita tidak perlu terkejut jika serbuan-serbuan polis menjadi sia-sia kerana kebocoran maklumat. Malah ramai juga yang bertanya bagaimana dengan ‘tauke-tauke’ judi, apakah mereka begitu hebat dan licik daripada pihak berkuasa sehingga sukar diberkas?

Di sempadan pula, penyeludupan barang bersubsidi terus berlaku. Walaupun media termasuk akhbar ini sudah beberapa kali mendedahkannya tetapi anehnya yang menjadi tumpuan pihak tertentu bukannya kegiatan haram tersebut atau amalan rasuah yang berlaku sebaliknya bagaimana media mengetahui perkara itu.

Apa yang berlaku menunjukkan gejala rasuah dalam kalangan penguat kuasa bukan lagi perkara kecil malah ia semakin merebak dan mungkin sudah membarah dalam sesetengah agensi.

Justeru SPRM perlu bertindak, jadikanlah bulan ini sebagai bulan pembersihan ke atas agensi-agensi penguat kuasa. Kita percaya ramai lagi dalam kalangan anggota penguat kuasa yang jujur dan amanah melaksanakan tanggungjawab mereka.

Tetapi kelompok ini turut terseret sama disebabkan segelintir anggota penguat kuasa yang terus mahu ‘menghidangkan’ rezeki haram kepada isteri dan keluarga mereka. Apapun mereka yang terlibat perlu bersedia menerima padahnya kerana penulis yakin golongan itu sudah pasti ada dalam radar SPRM.

Penulis: 

Sumber: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/banteras-penguat-kuasa-rasuah-1.452249

By |2021-07-10T23:25:58+08:00March 7th, 2017|0 Comments

Leave A Comment

Go to Top